Ekstremis tidak boleh ditangani dengan ekstremisme: Khutbah Jumaat
Umat Islam diajak melihat punca keganasan dari sudut perbuatan umat itu sendiri
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 16 Muharram 1439H, Jumaat – Keberanian melulu sesetengah umat Islam yang menyertai golongan militan, bukanlah perlambangan sebenar Islam yang mementingkan aspek kebijaksanaan dalam bertindak.
Menurut teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sesuatu keganasan atau ekstremisme yang muncul ketika ini tidak boleh ditangani dengan ekstremisme juga.
“Krisis di Timur Tengah umpamanya bukan tercetus semata-mata disebabkan pertembungan mazhab atau sikap ekstrem umat Islam.
“Tetapi ia adalah gabungan beberapa faktor ditambah dengan percaturan kuasa-kuasa besar yang mempunyai pelbagai agenda dan kepentingan.
“Dalam hal ini, kita perlu menyedari betapa kompleksnya cabaran ini malah respon dalam bentuk keganasan yang serupa tidak akan mampu menyelesaikan masalah bahkan mendatangkan kemusnahan yang lebih besar,” kata Jakim.
Sehubungan itu, khutbah mengajak umat Islam melihat punca keganasan ini dari sudut perbuatan umat itu sendiri.
“Kita lihat, setiap kali peristiwa keganasan tercetus di merata tempat khususnya yang membabitkan umat Islam, maka bersegeralah umat Islam termasuk di Malaysia ini melakukan sama ada solat hajat, qunut nazilah dan sebagainya bagi memohon pertolongan Allah SWT.
“Namun, pernahkah kita cuba menginsafi bahawa barangkali doa kita belum dimakbulkan lagi sehingga ke hari ini adalah disebabkan diri kita sendiri,” kata Jakim.
Menurut teks khutbah itu, sekarang ini ada pighak yang berpendapat amalan amar maruf itu sudah tidak penting lagi, bahkan ada yang berani mengharuskan perkara yang mungkar atas dasar hak kebebasan.
“Contohnya seperti perlakuan khalwat, hubungan sejenis, hubungan seks luar nikah dan sebagainya yang jelas dilarang di dalam Islam.
“Kini, kita perlu kembali kepada mesej Islam yang sebenar iaitu Islam membawa rahmat kepada seluruh manusia dan alam. Rahmat yang diasaskan oleh kefahaman syariah yang betul sehingga membentuk satu kerangka pemikiran dan akhlak Islam yang tinggi.
“Pemahaman ini juga hendaklah mengambil kira kepelbagaian konteks sosio-sejarah berlandas maqasid syariah, insyaAllah boleh menatijahkan kebaikan yang sebenar,” kata Jakim.
Justeru, umat Islam diseru untuk bersama-sama bermuhasabah di atas apa yang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia dan di negara kita ini dengan penuh keinsafan.
“Sesungguhnya kita sendirilah yang mengubah nasib diri dan bangsa kita ke arah yang lebih baik berlandaskan kepada iman dan ilmu. Jika tidak, pasti kita akan berterusan ditipu dan terpedaya dengan pelbagai jenis kekeliruan yang berselirat pada hari ini,” kata Jakim.
The post Ekstremis tidak boleh ditangani dengan ekstremisme: Khutbah Jumaat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan