Feminisme berjuang dengan matlamat, cara salah

Oleh Athirah Huda Zalhe

SHAH ALAM, 18 Muharram 1439H, Ahad – Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS), Ustazah Nur Fatin Halil berkata, pejuang gerakan feminis di negara ini tidak perlu lagi menuntut sebarang hak wanita yang disifatkannya sudah mencukupi.

Menyelar kumpulan feminis di negara ini, beliau berkata, wanita di Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah mahupun penindasan sehinggakan perlu berlebihan serta lantang dalam menuntut hak kesamarataan.

“Mungkin tuntutan pelbagai hak sebegini berlaku di negara-negara asing yang berdepan isu penindasan kepada golongan wanita. Tetapi, di Malaysia kita tiada masalah dengan perkara itu.

“Di Malaysia, sudah banyak kelebihan dan hak kita peroleh dan rasa sebagai contoh dari sudut perundangan. Kita mempunyai hak berkahwin, belajar dan sebagainya. Undang-undang negara telah banyak membela hak wanita,” katanya pada Forum Sama Rasa, Sama Rata pada Seminar Fiqh Wanita, Feminisme dan LGBTQ: Nafsu atau Wahyu? di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, rata-rata golongan wanita di Malaysia bebas bekerja sehinggakan diberi penghormatan menggalas jawatan tinggi dalam sektor profesional.

“Pelantikan hakim mahkamah dalam kalangan wanita di Malaysia telah pun berlaku. Di Selangor pada tahun lalu, dua orang hakim Syarie telah dilantik.

“Mengapa wanita boleh memegang jawatan tinggi adalah kerana kelayakannya. Bukan disebabkan bersaing atau hak sama rata dengan lelaki,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat golongan yang cuba memperjuang kesamarataan dan merasai mereka dizalimi atau pun membela pihak yang dikatakan dizalimi.

Namun katanya, sekiranya perkara yang diperjuangkan itu selari dengan syarak maka ianya tiada masalah, malah wajar diberi sokongan.

“Namun, yang menjadi masalah kerana ia tidak selari dengan syarak. Contohnya, hak wanita dalam menuntut harta sama dengan lelaki. Sedangkan ia tuntutan syarak di mana hikmah-hikmahnya yang Allah saja tahu.

“Jika mereka perjuangkan ibu tunggal yang tidak mendapat hak di mahkamah dan sebagainya, maka tiada masalah.

“Tetapi apabila gerakan ini berjuang atas nama Islam tetapi memperjuangkan hak sama rata yang bercanggah dengan syarak maka ia akan menyebabkan masyarakat makin keliru. Berjuang dengan matlamat dan cara yang salah,” katanya.

The post Feminisme berjuang dengan matlamat, cara salah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian