Graduan harus lebih beretika, tidak tular maklumat tanpa saringan: Raja Muda Perlis

ARAU, 8 Safar 1439H, Sabtu – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini, mengingatkan kesemua graduan agar lebih beretika dan tidak menularkan sebarang berita atau isu negatif yang boleh menjatuhkan imej serta maruah diri dan institusi.

Baginda bertitah, mereka perlu menapis atau menyaring sebarang maklumat yang diperolehi terlebih dahulu sebelum dikongsi terutamanya menerusi laman sosial.

“Antara cabang perkembangan ilmu masa kini adalah menerusi revolusi dalam media baharu yang amat memberikan impak besar terhadap kehidupan masyarakat.

“Dengan peningkatan pengguna internet ini juga membuka seluas-luasnya capaian ilmu dan maklumat dengan hanya satu ‘klik’,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-12 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Selain itu, baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah, setiap individu dengan pelbagai ilmu pengetahuan, mempunyai daya pemikiran yang tajam dan perlu memanfaatkan sepenuhnya dalam mendepani cabaran kehidupan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, ilmu perlu dijadikan panduan untuk mengekang diri daripada terjebak dalam kegiatan negatif seperti menjadi mangsa atau terlibat dalam salah laku jenayah siber.

“Ilmu itu juga seharusnya dimanfaatkan ke jalan yang benar, malah ia juga boleh menjerumuskan seseorang itu menjadi bongkak atau sanggup memanipulasikan ilmu untuk kepentingan diri sendiri.

“Setinggi mana pun ilmu yang dimiliki, manfaatkanlah ia ke jalan yang benar agar memberi faedah kepada masyarakat,” titah baginda.

Berangkat sama pada istiadat itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pro Canselor UniMAP.

Keberangkatan baginda berdua disambut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr Mohd Sofi Osman dan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Pada sidang pertama konvokesyen kali ini, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan, daripada UniMAP.- Bernama

The post Graduan harus lebih beretika, tidak tular maklumat tanpa saringan: Raja Muda Perlis appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian