Hadi Awang patut taubat, tarik balik amanat: Dr Mahathir

BANGI, 11 Safar 1439H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang mempertahankan rasuah dan penyelewengan yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sekaligus Hadi berusaha untuk memberi kemenangan kepada Najib dan UMNO walaupun di masa yang sama PAS akan kalah,” katanya menulis dalam blog beliau hari ini.

Beliau juga berkata, parti itu telah menggugurkan tuntutan hudud PAS dan kini menjadikan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 (RUU355) sebagai modal politik untuk mendapat sokongan.

“PAS akan terus peralatkan Islam. Tuntutan terhadap hudud PAS sudah digugur. Sekarang kononnya PAS akan bawa usul RUU 355. Berkali-kali usul ini ditangguh. Tetapi PAS masih mengguna usul ini untuk menarik sokongan politik bagi dirinya.

“Saya sedar ramai pengikut Hadi telah bai’ah kepadanya. Mereka taksub kepadanya sehingga ajaran Al Quran dan hadith yang sahih pun diketepikan. Mereka sudah jadi puak assabiah yang terima sahaja apa yang didakwa oleh Hadi tanpa soal,” katanya.

Mengenai gesaan Abdul Hadi supaya beliau bertaubat, bekas Perdana Menteri itu berkata, Abdul Hadi yang sepatutnya bertaubat kerana mengeluarkan ‘Amanat Haji Hadi’ yang menyebabkan umat Islam berpecah-belah dan kematian dalam kes Memali.

“Perpecahan dan permusuhan sesama orang Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan parti PAS. Dianya tidaklah begitu buruk sehingga Hadi keluar Amanatnya. Sesungguhnya Hadi berdosa besar dan Hadi perlu bertaubat dan batalkan Amanatnya,” katanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Abdul Hadi melakukan banyak kerosakan terhadap agama dan orang Islam di Malaysia hingga perpecahan itu menyebabkan umat Islam lemah.

“Hadi suruh saya bertaubat. Sebenarnya yang mesti bertaubat ialah Hadi sendiri. Allah melarang dalam Al Quran umat Islam berpecah-belah dan berpuak-puak. (Ayat 159 Surah Al An’am, Ayat 103 Surah Ali Imran, Ayat 107 Surah Al Anfal, Ayat 32 Surah Ar Rum, Ayat 94 Surah An Nisaa)

“Hadi mengkafirkan orang Islam di Malaysia. Allah SWT melarang perbuatan mengkafir dan berjanji sesiapa yang mengkafirkan orang Islam, kafir itu akan kembali kepada mereka. Inilah yang terjadi kepada Hadi dan PAS apabila bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Malah, katanya, disebabkan Abdul Hadi dalam amanatnya mengkafirkan pemerintahan Malaysia, maka empat anggota polis dibunuh oleh pengikut Allahyarham Ibrahim Libya kerana mereka percaya sedang berjihad dan mati syahid.

“Perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu Islam di Malaysia amat mendalam. Ada yang menafi keIslaman ibubapa mereka. Ada di antara orang PAS yang menidakkan keIslaman isteri, yang berkahwin sekali lagi.

“Ada yang sembahyang berasingan, dengan imam lain; yang tidak sanggup dikebumi di kubur biasa kerana kononnya kubur itu kubur orang kafir. Ada yang bangun masjid berasingan sehingga sekarang ini pun. Inilah hasil Amanat Hadi. Ia adalah satu dosa besar. Kerana ini sahaja pun ia perlu bertaubat,” katanya.

The post Hadi Awang patut taubat, tarik balik amanat: Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian