Hanya umat Islam tentang budaya tak berakhlak

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Muharram 1439H, Isnin – Adakah tanggungjawab menentang budaya tidak berakhlak ini hanya terletak pada bahu umat Islam di negara ini? Bukankah semua agama mengharamkan arak, judi, dadah dan hubungan songsang?

Demikian persoalan yang dinyatakan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah.

Dr Iskandar berkata, jika benar perkara demikian, maka ia sepatutnya menjadi tanggungjawab semua ahli masyarakat beragama untuk menentangnya, dan tidak hanya khusus kepada segolongan pihak sahaja.

Beliau turut menyelar beberapa pemimpin politik negara kerana bersikap menyokong pesta arak, Better Beer Festival meskipun mendapat bantahan oleh banyak pihak termasuk telah dibatalkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, pemimpin-pemimpin terbabit jugalah antara pihak yang turut sama menyokong pesta gay dan LGBT di Kuala Lumpur, sebelum ini.

“Matlamat penentangan ini untuk memelihara budaya berakhlak generasi akan datang dan bukannya bertujuan meraih kepentingan politik.

“Malahan masyarakat sepatutnya menolak pemimpin-pemimpin politik yang membawa gagasan idea merosakkan jiwa,” katanya.

Menulis di Sinar Harian hari ini, Dr Iskandar berkata, rakyat tidak sepatutnya membiarkan diri diperguna untuk membenci kepimpinan individu tertentu yang dikaitkan dengan rasuah, sedangkan sanggup menggadai akhlak masa depan generasi akan datang.

“Adalah menjadi igauan buruk masyarakat kita jika hanya melihat masalah rasuah dan bukannya melihat secara holistik.

“Apakah kesudahan yang akan berlaku jika generasi masa depan kita adalah generasi pemabuk, generasi pemukah hubungan songsang dan generasi penagih? Mungkin ramai yang melihat pesta arak dan gay bukan masalah mereka, tetapi implikasinya tetap ada,” katanya.

Menurut beliau, banyak kemalangan maut direkodkan akibat mabuk arak, termasuk ramai anak-anak menjadi terbiar ekoran daripada kesan ketagihan minuman itu dalam kalangan ibu bapa.

Katanya, ia juga tidak termasuk dengan jumlah penghidap Aids dan HIV akibat hubungan songsang sambil mempersoalkan apakah generasi negara bertambah sekiranya perkara itu menjadi budaya kebiasaan dalam masyarakat Malaysia.

“Fikirkanlah hal ini bukan berlaku semalaman, tetapi sudah berlarutan sehingga menjadi satu wabak budaya yang akhirnya mengena diri kita. Kejadian ini sama seperti penagihan dadah yang bermula tahun 70-an.

“Disebabkan masyarakat alpa dan mementingkan diri. Akhirnya kini menjadi satu wabak yang melanda masyarakat apabila jumlah penagihan dadah mencecah jutaan orang. Ingatlah bahawa masyarakat bermaruah adalah masyarakat berakhlak,” katanya.

Jelas Dr Iskandar, sehingga kini sebanyak RM1.5 bilion dihabiskan untuk arak dalam tempoh setahun, yang membawa kepada kerosakan sel-sel otak dan seseorang itu nyanyuk di awal usia.

“Malahan arak mengakibatkan kanser mulut, perut dan hati. Sebanyak 40,000 pesakit baharu kanser dikesan setiap tahun. Satu daripada empat pesakit kanser baharu dikaitkan dengan kanser mulut, perut dan hati akibat arak. Ramai daripada pesakit kanser ini tidak mampu membiayai kos rawatan yang semakin meningkat.

“Dalam satu kajian menunjukkan sebanyak 39 peratus pesakit kanser tidak mampu untuk membayar kos ubat-ubatan, 35 peratus tidak dapat membayar bil perubatan, 22 peratus tidak dapat membayar pinjaman gadai, dan 19 peratus lagi menunjukkan penghidap terpaksa memberhentikan rawatan,” katanya.

Justeru katanya, masyarakat Islam perlu kembali kepada kehidupan Islam sebenar dan bukan sebaliknya iaitu liberalis, pluralis atau sekularis.

“Yang menyedihkan apabila sebilangan umat Islam di negara ini melihat Islam bukan jalan penyelesaian terbaik ke atas permasalahan sosial di negara ini.

“Bagi mereka nilai kehidupan Barat adalah penyelesaiannya. Manakala masyarakat bukan Islam perlu kembali kepada kehidupan berakhlak seperti yang dituntut oleh agama mereka.

“Masalah arak, judi, dadah dan LGBT adalah masalah bersama, bukannya khusus untuk segolongan masyarakat,” katanya.

The post Hanya umat Islam tentang budaya tak berakhlak appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian