ismakualaterengganu

IKIM terbit buku sanggah pegangan pluralis

PUTRAJAYA, 7 Safar 1439H, Jumaat – Buku ‘Kenapa Islam: Menyanggah Pegangan Kaum Pluralis’ terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKI...

PUTRAJAYA, 7 Safar 1439H, Jumaat – Buku ‘Kenapa Islam: Menyanggah Pegangan Kaum Pluralis’ terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mampu dijadikan panduan dalam menangkis cubaan pihak tertentu menghakis keyakinan sebahagian masyarakat Islam berkaitan perkara asasi dalam akidah Islam.

Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM, Dr Mohd Farid Shahran berkata penerbitan buku itu amat kena pada masanya ketika persoalan agama dan hubungan antara agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia menjadi satu polemik yang tidak berkesudahan.

Beliau berkata, walaupun telah sekian lama hidup secara harmoni, kepelbagaian itu mula menimbulkan masalah apabila ada pihak tertentu secara halus menggunakannya sebagai ‘senjata’ untuk menggugat keyakinan orang Islam sehingga terjebak ke dalam perangkap pemikiran pluralisme.

“Dalam konteks kepelbagaian etnik dan agama, kita tidak boleh lari daripada isu toleransi agama, iaitu pentingnya setiap penganut agama bertoleransi terhadap perbezaan yang ada antara mereka dengan agama-agama lain.

“Di sini kita kena jelas, dalam toleransi agama, kita (orang Islam) boleh bertoleransi dalam hal mengamalkan kefahaman masing-masing, tetapi kita tidak boleh berkompromi dalam soal kebenaran agama Islam dan perlu tegas mengatakan Islam itu agama yang terbaik dan diterima di sisi Allah,” katanya ketika menjadi panel pada sesi membedah buku itu di sini, hari ini.

Turut menjadi panel pada program bedah buku sempena Pesta Lelong Buku dan Komik 2017 itu ialah Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM, Md Asham Ahmad, yang juga penulis buku tersebut.

Mohd Farid berkata, perbezaan dan kepelbagaian agama tidak harus menjadikan penganut Islam sebagai golongan pluralis dan buku berkenaan secara baik telah menjustifikasikan dari segi asas dan dalil berilmiah mengenai kebenaran agama Islam, berbanding agama lain seperti kesempurnaan syariat Islam, kewibawaan pembawa atau penyampai iaitu Nabi Muhammad SAW serta jalan penyampaiannya yang terpelihara sejak awal sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Md Asham berkata, penerbitan buku berkenaan diharap dapat membantu menjernihkan semula kefahaman kaum muslimin mengenai kedudukan sebenar agama Islam, sekali gus membuang segala kekeruhan yang timbul berpunca daripada dakyah oleh kaum pluralis yang menyesatkan.

Masyarakat Islam boleh jadikan pencerahan yang diutarakan di dalam buku ini sebagai panduan dalam berhujah secara ilmiah, kemas dan bernas sekali gus boleh mengelak tindak balas beremosi ketika berhadapan pihak tertentu yang sentiasa cuba mengelirukan pemikiran orang Islam, katanya.

Buku ‘Kenapa Islam: Menyanggah Pegangan Kaum Pluralis’ setebal 70 halaman itu dijual dengan harga RM25 dan boleh didapati melalui pembelian secara dalam talian di www.ikim.gov.my atau di Galeri Penerbit IKIM, Jalan Duta, Kuala Lumpur. – Bernama

The post IKIM terbit buku sanggah pegangan pluralis appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 3583173216146421251

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item