Istana Raja Arab Saudi di Jeddah diserang, 3 mati, lapor media sosial
JEDDAH, 17 Muharram 1439H, Sabtu – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Arab Saudi mengeluarkan amaran kepada warganegaranya untuk mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan sekitar Istana Diraja di sini hari ini, selepas laporan media sosial mengenai satu serangan di situ.
Menurut laporan media sosial, pasukan keselamatan Arab Saudi mematahkan serangan berhampiran Istana Al-Salam di tepi pantai Laut Merah di sini, hari ini.
Dua pengawal istana dan seorang penyerang dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu.
Istana itu terletak bersebelahan dengan Jalan King Abdulaziz dan Jalan Andalus.
Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kejadian itu.
Kumpulan seperti al-Qaeda dan IS sebelum ini melakukan serangan ke atas beberapa sasaran di Arab Saudi.
Penyerang menyasarkan masjid Syiah di wilayah timur negara itu di mana kebanyakan pengikut fahaman itu tinggal, selain serangan terhadap pasukan keselamatan.
Julai lalu, pihak berkuasa Arab Saudi berkata, mereka mematahkan cubaan IS menyerang Masjidil Haram di Makkah. – Agensi
The post Istana Raja Arab Saudi di Jeddah diserang, 3 mati, lapor media sosial appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan