Jawapan Zahid Hamidi berhubung isu Jho Low mengelirukan: Muhyiddin

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Safar 1439H, Selasa – Jawapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu siasatan terhadap hartawan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen semalam mengelirukan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Ahmad Zahid pada awalnya menyatakan wujud bentuk kerjasama, yang telah diminta oleh pihak Malaysia kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Jho Low.

“Jadi sepatutnya kalau begitu, kita nak tahu sama ada benar pihak kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuat permohonan rasmi untuk meminta supaya Jho Low ditangkap dan dibawa ke Malaysia supaya dapat dibicarakan dalam kes berkaitan 1MDB,” katanya menerusi salah satu video pendek yang disiarkan di Facebook rasmi parti itu.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri semalam menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azmin Ali (PKR-Gombak) bahawa polis meminta bantuan Interpol untuk mengesan Jho Low.

Menurut Zahid, kerajaan yakin apa yang dilakukan oleh pihak di peringkat antarabangsa terutama agensi perisikan telah dimuktamadkan, dan menyatakan bahawa isu itu tidak lagi relevan untuk dibangkitkan oleh pembangkang.

Bagaimanapun, Pejabat Timbalan Perdana Menteri kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan pada hari sama menafikan perkara berkenaan dan memaklumkan bahawa PDRM telah menutup fail siasatan terhadap Jho Low, sekali gus tiada sebarang permintaan oleh Interpol berhubung kes tersebut.

“Amat memalukan bila mana seorang timbalan perdana menteri membuat kenyataan sebegini di Parlimen sama ada ia benar atau tidak benar untuk menjelaskan jawapan kepada Ahli Parlimen Gombak. Ini suatu perkara yang perlu diperjelaskan.

“Dan saya fikir, disebabkan siasatan Interpol dikatakan oleh Zahid itu sudah selesai, tiada penemuan apa-apa maka kes itu ditutup, ianya satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab,” kata Muhyiddin.

The post Jawapan Zahid Hamidi berhubung isu Jho Low mengelirukan: Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian