Kata Pedang: Bukan PM, Menteri Kewangan bentang Bajet 2018 (Bajet GBU-43/B)

(Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana)

MENGIKUTI pembentangan Bajet 2018 oleh Datuk Seri Najib Razak, petang tadi, sesuatu yang tidak pernah Pedang rasa dan dengar sejak lebih 33 tahun menjadi wartawan. Dari satu segi, itu menunjukkan kemajuan dan perubahan. Tetapi, ia masih sekadar di atas kertas, masih boleh diubah.

Namun, bak kata seorang penganalisis politik yang turut mengikuti ucapan Najib hari ini, pembentangan Bajet 2018 itu bukan dilakukan oleh Perdana Menteri atau Menteri Kewangan Malaysia.

Berdiri di dalam Dewan Rakyat membentangkan Bajet 2018 petang tadi ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Dek kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mesti diadakan sebelum Jun tahun depan atau selewat-lewatnya Ogos, Bajet 2018, sebagaimana yang telah Pedang katakan semalam, adalah ‘bajet memikat undi’ atau ‘bajet meraih undi’ atau boleh juga dikatakan ‘Bajet Pilihan Raya’.

Lalu, tak perlu dinafikan atau ditolak, bahawa ‘ihsan’ yang diberi dalam bajet kali ini bertujuan mendapatkan sokongan rakyat supaya memilih dan mengundi BN pada PRU14 nanti.

Cuma, apa yang Pedang bimbang ialah setelah memenangi PRU itu, kerajaan boleh sahaja meminda apa yang dibentangkan di atas kertas Bajet 2018, dengan memberi alasan tertentu. Tak boleh lagi sesiapa pun hendak menolaknya.

Kalau selepas menang PRU14, kerajaan kata bajet perlu disemak semula atau bajet tahun-tahun selepasnya tiada yang menggembirakan, tiada apa yang boleh dilakukan lagi oleh rakyat. Tunggu pula lima tahun lagi untuk memangkah dalam PRU15, yang ketika itu sekali lagi bajet memancing undi akan dibentangkan.

Dan jelaslah, terbentang di hadapan kita dan diakui sendiri oleh Najib yang juga Pengerusi BN, bahawa Bajet 2018 adalah IBU SEGALA BAJET.

Sebab itu Pedang bagi tajuk ‘Pengerusi BN bentang Bajet 2018 (Bajet GBU-43/B). Apa GBU-43/B?

GBU-43/B adalah bom konvensional yang paling kuat. Walaupun, bom nuklear mempunyai kuasa terkuat, GBU-43/B kekal sebagai ‘ibu segala bom’ – ‘Mother of All Bombs’.

Sama dengan Bajet 2018, Pedang melihatnya juga sebagai ‘ibu segala bajet’. Belum pernah lagi ada bajet atau dulu dipanggil ‘belanjawan’ yang sehebat Bajet 2018, sehinggakan tok batin dan tok siak pun tidak ketinggalan daripada menerima kesannya. – Atas kertas!

Bajet yang merangkumi segala-galanya, sehinggakan tok penghulu dan tok imam, juga diberi bonus RM1,500. Sebut lah apa sahaja, segala-galanya ada di atas kertas bajet itu. Elaun warga emas RM50 naik RM350 sebulan. – Atas kertas!

Malah, mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, juga menerima faedah. Seperti kata Najib, kerajaan akan meningkatkan sumbangan terhadap caruman kepada 15 peratus, tertakluk kepada maksimum RM250 setahun, dalam Skim Persaraan 1Malaysia, di bawah KWSP yang bermula tahun depan hingga 2022. – Atas kertas!

Juga petani yang menanam padi, sementara menunggu hasil boleh dituai, kerajaan akan beri RM200 setiap bulan selama tiga bulan. – Atas kertas!

Begitulah hebatnya ibu segala bajet.

Namun, GST tetap kekal dikenakan. Cuma walaupun dalam bajet itu ada disebutkan mengenai GST, ianya hanya lebih kepada industri. Tiada jaminan apabila pemain industri itu dibebaskan daripada GST, harga barang akan turun.

Kehebatan Bajet 2018 bertujuan menghadapi PRU14. Sekali pandang, pembangkang tiada harapan lagi. Pedang sudah kata sebelum ini,  Najib dan BN akan berhabis-habisan bertempur dengan segala senjata yang ada menempuh PRU14 nanti.

Kekalahannya, akan memberi kesan buruk kepada beliau, UMNO dan BN yang terpalit dengan pelbagai tuduhan, sehingga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi mentornya suatu ketika dulu, menuduh beliau sebagai pencuri.

Skandal dianggap paling besar dalam sejarah membabitkan dana 1MDB juga melingkari Najib dan kerajaan BN. Jika kalah, pastinya kes dan skandal 1MDB itu akan dibongkar.

Lantaran itu, Najib dan BN akan melakukan apa sahaja untuk menang PRU14, segala senjata dalam gudangnya dikeluarkan, termasuk melepaskan ‘ibu segala bajet’, di mana 2018 adalah tahun PRU.

Sebab itu, Pedang juga melihat bukan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan yang membentangkan bajet itu petang tadi, tetapi Pengerusi BN berpakaian baju Melayu berwarna biru, sesuai dengan warna baju yang sentiasa dipakai orang BN.

Pedang petik kata-kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid yang melihat bajet kali ini hanya positif untuk mereka yang berpendapatan kurang RM9,000 dan mudah pula ditarik untuk memberi sokongan kepada pihak tertentu.

“Dan secara dasarnya darjah pemikiran mereka, bukan saya nak menafikan, tetapi pemikiran dan analisis mereka juga rendah serta mudah terpukau dengan bayaran-bayaran sebegini. Maka, sasaran itu sampai.

“Unsur-unsur pancing undi itu ada, cuma ianya tidak secara langsung kerana mungkin ada yang menerima tetapi tidak memberi kesan, khususnya mereka berpendapatan tinggi, ianya hanya memberi kesan kecil,” katanya.

Dan, antara kata-kata Najib sebelum mengakhiri pembentangannya:

“Bagai disesuaikan dengan kalam Megat Terawis satu ketika dulu,… bila rakyat dan kerajaan menjadi satu, barulah negara gagah perkasa kerana,… Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita,… kalau nipis dihiris,… maka nipislah jadinya,… kalau tebal dihiris,… maka teballah jadinya… “

Kata Pedang: Pen di tangan kita, kertas undi pun di tangan kita. Kalau salah pangkah, buruk jadinya.

The post Kata Pedang: Bukan PM, Menteri Kewangan bentang Bajet 2018 (Bajet GBU-43/B) appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian