KDN keluar perintah larangan 22 penerbitan

BANGI, 19 Muharram 1439H, Isnin – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap 22 penerbitan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, masing-masing bertarikh 28 September dan 3 Oktober lalu.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pewartaan perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Kesemua penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan moral dan kepentingan awam,” katanya.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, 10 penerbitan merupakan terjemahan ayat al-Quran dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Korea tanpa ayat asalnya dalam bahasa Arab.

Katanya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-110 memutuskan bahawa “Tidak harus menerbitkan dan mengedarkan Terjemahan Al-Quran tanpa teks Asal Al-Quran”.

Sepuluh penerbitan itu ialah ‘Terjemahan Al-Quran’; ‘Al-Quran Translation’; ‘The Meaning of Glorious Qur’an Korean Edition’; ‘The Meaning of The Holy Quran (Chinese Translation Edition)’; The Meaning of Al- Qur’an (The Guidance for Mankind)’; ‘The Quran Modern English Translation (640 muka surat)’; ‘Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu’; ‘The Quran Modern English Translation (431 muka surat)’; ‘Terjemahan Al Quran Bahasa Melayu’ dan ‘Translation of The Quran.

“Penterjemahan ke dalam bahasa lain wajib dilakukan mengikut ayat asal Al-Quran kerana terjemahan tanpa disertakan ayat asal tidak semestinya tepat disebabkan penterjemahan perlu dilakukan mengikut kaedah bahasa Arab yang ada peraturan tertentu,” katanya.

Perintah larangan itu turut merangkumi penerbitan ‘Sekitar Masalah Tariqat (naqsyabandiyah)’ dan ‘Meniti Jalan Hidayah: Menuju Toriqah Khotmul -Auliya’, yang mengandungi amalan ilmu tasawuf diselewengkan serta jelas bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sementara dua penerbitan lagi dipercayai mengandungi unsur-unsur mengelirukan umat Islam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan Hadis iaitu ‘Islam dan Iman: Aturan-Aturan Pokok’ dan ‘Islam Kemodernan Dan Keindonesiaan.

Lima lagi penerbitan diwartakan perintah larangan kerana mempromosi idea liberalisme, fakta dikupas menggunakan logik akal, mengandungi unsur-unsur penghinaan dan menyeleweng daripada Islam sebenar.

Penerbitan itu adalah ‘Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan’; ‘Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty’; ‘Wacana Pemikiran Reformis (Jilid I)’; ‘Wacana Pemikiran Reformis (Jilid II)’ dan ‘Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi’.

Manakala tiga penerbitan lagi dipercayai memuatkan lukisan dan arca posisi lucah serta keterlaluan, selain mengandungi fakta mengelirukan menjurus kepada fahaman Syiah dan karikatur yang mungkin memudaratkan kepentingan negara.

Buku berkenaan adalah ‘Tantra: The Search For Ecstacy’; ‘ Aku ___, Maka Aku Ada!’ dan ‘Sapuman: Man of Steal’.

Beliau berkata, adalah menjadi satu kesalahan jika mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki penerbitan itu.

“Mana-mana individu atau syarikat penerbitan yang dikesan melanggar perintah larangan ini dan disabitkan bersalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya seperti ditetapkan mengikut Seksyen 8(2) Akta 301.

“Orang awam yang mengesyaki sebarang penerbitan melanggar undang-undang boleh membuat aduan kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui sistem pengaduan awam bersepadu KDN di laman web moha.spab.gov.my,” katanya.

The post KDN keluar perintah larangan 22 penerbitan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian