Kekuatan Tentera dan Ekonomi, Asas Pembangunan Negara
Kota Samarahan, 29 Sept – “Antara perkara yang Rasulullah lakukan untuk membina negara Islam Madinah adalah membina masjid, membina kekuatan ketenteraan secara berperingkat dan membina kekuatan ekonomi umat Islam.” Demikian kata Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni dalam ceramahnya yang bertajuk Pembinaan Negara Islam Madinah yang telah diadakan di Masjid Ar Riyadh Samarindah, Kota Samarahan baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dua aspek yang telah disebutkan iaitu kekuatan tentera dan ekonomi adalah antara perkara asas dalam memastikan sesebuah negara itu dapat berkembang maju.
Kekuatan tentera yang telah dibina oleh Rasulullah sangat membantu dalam pembinaan negara Madinah. Pada permulaannya, tentera Islam sangat sedikit bilangannya. Namun bilangan mereka bertambah seiring dengan perluasan kuasa Islam. Demikian bagaimana Islam mampu menakluki negara-negara besar setelah kekuatan tentera dapat dibina.
Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni yang juga merupakan Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata, pada awal perkembangan negara Islam dahulu, ekonomi mereka tidak berada pada peringkat yang memberangsangkan. Namun, Rasulullah dengan segera mengambil langkah untuk membangunkan ekonomi orang Islam. Hal ini kerana, kaum yang tidak hebat dalam ekonomi pasti akan ditindas oleh kaum yang hebat ekonominya.
Demikian penerangan Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, bahawa antara dua perkara penting yang perlu bagi membentuk sesebuah negara adalah pembangunan ketenteraan dan ekonomi.
Turut hadir pada ceramah tersebut adalah Ustaz Abdul Rahman bin Ismail, Yang Di-Pertua ISMA Samarahan dan saudara Rasheedan bin Elin, Ketua Biro Dakwah ISMA Samarahan.
Oleh Norlia, Biro Komunikasi Samarahan
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan