Kerjasama PAS-UMNO pendekatan politik kenegaraan, bukan kepartian

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Safar 1439H, Selasa – Cadangan yang dikemukakan oleh bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali supaya parti itu dan UMNO membentuk kerjasama demi kepentingan rakyat serta negara, disifatkan sebagai satu pendekatan bijak dengan mengetepikan fahaman politik demi maslahat lebih besar.

Menyokong cadangan berkenaan, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, hasrat yang diutarakan oleh bekas Pengarah Pilihan Raya PAS itu dilihat bukanlah sesuatu yang luar biasa, kerana kerjasama melibatkan kepentingan negara telah lama dipraktikkan di beberapa negara Barat.

“Pendekatan politik sebegini membawa mesej baharu kepada rakyat untuk beralih daripada politik kepartian kepada politik kenegaraan, seperti meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan, bukan parti.

“Ini juga peluang PAS untuk menyenaraikan tuntutan mereka dan UMNO seharusnya bersedia serta berlapang dada menerima pandangan PAS,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mustafa bahawa PAS wajar mengambil tindakan segera mengadakan pertemuan dengan UMNO bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua parti demi kepentingan rakyat dan negara.

Bagaimanapun, Mustafa berkata, kerjasama itu bukan bermakna ke arah pembentukan kerajaan perpaduan PAS-UMNO, sebaliknya lebih menjurus kepada konsep ta’awun atau saling bantu membantu melibatkan kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berharap dua parti berkenaan duduk semeja mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, langkah itu juga akan mendidik pembangkang supaya lebih realistik dalam membuat sebarang komen dan tuduhan yang dilihat tanpa asas serta bermotif politik semata-mata.

“Pada masa yang sama ia ujian keikhlasan pemerintah dalam membangunkan negara bukan hanya sekadar mempertahankan jawatan dan memenuhi perut sendiri.

“Apa pun rundingan ini memerlukan toleransi yang sangat besar daripada kedua-dua belah pihak dan rakyat menantikan hasil rundingan ini nanti. Moga berjaya,” katanya.

 

The post Kerjasama PAS-UMNO pendekatan politik kenegaraan, bukan kepartian appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian