Kneecapping: Perkongsian pengalaman remaja Palestin ‘dicacatkan’ oleh regim Israel

TEBING BARAT, 21 Muharram 1439H, Selasa – Dalam kem pelarian Dheisheh yang terletak di Bethlehem, adalah biasa untuk melihat remaja Palestin berparut besar dan panjang pada kaki mereka di samping terdapat poster dan lukisan mural rakyat Palestin dibunuh tentera Israel memenuhi dinding konkrit. Dua bukti jelas realiti amalan keganasan yang menjadi rutin regim Israel dalam kem tersebut.

Undang-undang antarabangsa melarang penggunaan peluru hidup ke atas orang awam, kecuali sebagai pilihan terakhir apabila mempunyai ancaman yang jelas. Bagaimanapun, tentera-tentera Israel dengan sewenang-wenangnya menembak peluru hidup pada rakyat Palestin ketika operasi mereka.

Kedua-dua pejuang hak asasi Palestin dan Israel maklum bahawa Israel menggunakan kekejaman secara berlebihan ke atas rakyat Palestin menyebabkan mereka mempunyai kecacatan kekal dan sementara.

Beberapa penduduk dalam Kem Dheisheh baru-baru ini telah dibunuh, yang terbaru, pemuda berusia 21 tahun, Raed al-Salhi, ditembak beberapa kali ketika serbuan tentera Israel pada bulan lepas. Beliau mendapat rawatan pada 3 September di Hospital Hadassah di Jerusalem sebulan lepas.

Badil, sebuah NGO Palestin yang berpangkalan di Bethlehem melaporkan berlaku peningkatan mendadak bilangan rakyat Palestin yang cedera di kem-kem pelarian sejak tahun lepas. Kebanyakannya cedera ditembak dengan peluru hidup dan luka-luka tembakan terdapat pada anggota bawah (lower limb) remaja di kem-kem terbabit. Perbuatan ini dikenali sebagai “Kneecapping”.

Penduduk di Kem Dheisheh berkata, seorang komander tentera Israel yang digelar “Kapten Nidal” oleh pemuda di kem tersebut, telah mengugut dengan sengaja untuk mencacatkan rakyat Palestin. Dia dilaporkan pernah berkata, “Saya akan mencacatkan separuh daripada kamu dan membuatkan separuh lagi menolak kamu atas kerusi roda”.

Badil menjelaskan bahawa ancaman Kneecapping ini adalah “bukan kes kemalangan atau terpencil”. Tetapi ini adalah “keputusan secara sistematik polisi tentera Israel yang bertujuan untuk mengurangkan penentangan, menakut-nakutkan pemuda Palestin, dan mencederakan mereka secara kekal atau meninggalkan kesan kerosakan secara fizikal atau mental”.

Issa al-Mu’ti, 15: “Saya tak dapat rasa kedua-dua kaki saya, saya hanya nampak banyak darah”

Pada tahun 2015, saya berusia 12 tahun. Pertelingkahan berlaku dengan tentera Israel di pintu masuk utara Kem Bethlehem. Saya di rumah dengan keluarga saya. Tiba-tiba saya sedar adik lelaki saya telah pergi untuk menyertai pertelingkahan tersebut.

Saya risau akan keselamatannya. Dia tidak patut pergi. Saya buat keputusan untuk pergi mencarinya dan membawanya pulang ke kem.

Apabila saya tiba, pertelingkahan masih lagi berlaku. Tentera Israel menembak gas pemedih mata dan peluru besi yang bersalut getah. Tetapi saya masih mencari adik saya. Tiba-tiba, tentera Israel menembak peluru hidup. Saya jatuh ke tanah, saya tak boleh bangun atau gerakkan kaki. Saya melihat sekeliling mencari bantuan dan saya nampak tentera Israel menembak rakyat Palestin yang sedang melarikan diri.

Seekor anjing polis Israel mula menyerang saya. Menggigit kaki saya. Saya cuba melawan, tetapi kemudian, tentera datang. Mereka mengheret saya di atas jalan dan memukul saya, malah menendang kaki saya. Mereka tidak sedar saya cedera, apabila mereka melihat luka saya itu, muka mereka seolah-olah terkejut dan mereka melarikan diri meninggalkan saya.

Saya segera melihat kaki saya. Keadaannya sangat menakutkan. Saya tak boleh rasa apa-apa. Saya hanya nampak darah. Saya dapat tahu kemudian, bahawa saya ditembak dengan 2 peluru yang meletup pada setiap kaki. Penggunaan peluru ini adalah haram bawah undang-undang antarabangsa.

Tentera Israel cuma melihat saya dari jauh. Saya dapat agak mereka terkejut dan tidak tahu apa yang patut dilakukan. Akhirnya, saya dibawa ke Hospital Hadassah di Jerusalem. Saya menghabiskan masa tiga bulan di sana dan hampir sebulan saya digari di katil hospital.

Tentera bersenjata Israel ditempatkan dalam bilik saya sepanjang masa dan kadang-kadang perisikan Israel datang ke hospital dan menyoal siasat saya mengenai kejadian baling batu dan bom Molotov kepada tentera mereka.

Saya rasa sakit yang amat sangat. Saya perlu menjalani satu pembedahan untuk kaki kiri dan 20 pembedahan untuk kaki kanan. Kaki kanan saya paling cedera parah. Doktor memberitahu saya, saluran darah telah hancur oleh peluru itu, jadi darah tidak dapat sampai ke kaki saya.

Akhirnya kaki saya kena gangrene di hospital dan doktor memberitahu mereka terpaksa memotong kaki saya.

Pada mulanya saya menolak. Apa yang saya hendak lakukan dalam hidup saya dengan hanya satu kaki? Saya rasa hidup saya hancur. Tetapi sakit gangrene semakin teruk. Kaki saya bertukar hitam dan kering. Hingga sampai ke satu tahap, memotongnya sangat melegakan.

Kecederaan ini mengubah semua dalam hidup saya. Saya tak boleh berjalan jauh. Sebelum kecederaan ini, saya bekerja untuk menolong keluarga saya. Kami bukan daripada keluarga yang kaya, jadi sangat penting untuk saya membantu dalam kerja rumah. Tetapi sekarang saya tidak boleh berbuat apa-apa.

Keluarga saya menfailkan ke jenayah ke atas tentera-tentera itu di mahkamah Israel.

TIdak lama, tentera Israel datang ke rumah kami dan mengugut ayah saya. Ayah bekerja di kedai roti di Gush Etzion (salah satu penempatan haram Israel). Tentera selalu mengugut ayah saya, untuk menarik balik permit kerja Israel jadi dia tidak boleh bekerja lagi. Kesannya pasti menghancurkan keluarga kami atau mereka akan tahan saya sekiranya keluarga saya tidak mahu menggugurkan kes.

Saya tahu, tentera-tentera itu tidak akan dihukum. Mereka rakyat Israel yang didakwa di mahkamah Israel. Tetapi mereka meninggalkan kecacatan kekal kepada saya dan menembak saya dengan peluru yang diharamkan antarabangsa. Bagaimana mereka boleh tidak bertanggungjawab?

Ramzi Ajamiah, 15: “Kami turut menderita secara psikologi”

Tentera Israel menembak kedua-dua kaki saya. Peluru itu melalui kaki kiri saya dan melekat pada lutut dan terkena pada saraf. Doktor tidak dapat mengeluarkan peluru itu. Serpihan peluru masih ada dalam kaki kiri saya.

Saya tidak dapat berjalan lama. Kadang-kadang kaki saya kejang terutama pada musim sejuk. Kesejukan itu menjadikan sakit makin teruk. Ada ketika, sakit yang sangat teruk, saya tidak dapat pergi ke sekolah. Saya terlepas lebih daripada setahun persekolahan kerana kecederaan.

Kejadian berlaku pada jam 6 pagi pada tahun 2016. Apabila tentera Israel menyerbu kem ini, saya dalam perjalanan ke sekolah. Tentera Israel secara rutin memasuki kem dengan menaiki bas awam dan bukannya kenderaan tentera, jadi mereka sukar dikesan.

Salah satu bas terbabit berhenti di luar sekolah. Sebaik sahaja tentera mula keluar dari bas, pertelingkahan berlaku.

Tentera menembak lima peluru hidup pada kaki saya. Saya terkejut dan badan saya jatuh ke tanah. Kawan saya nampak apa yang berlaku, dia lari ke arah saya dan cuba membawa saya keluar dari pertelingkahan itu. Pada masa yang sama, seorang tentera menembak kawan saya juga pada kaki tetapi dia tetap teruskan juga. Kemudian, mereka menembaknya pada kaki lagi satu dan kami berdua jatuh.

Kemudian sekali lagi tentera menembak kaki kanan saya.

Saya menghabiskan masa hampir sebulan di hospital. Doktor perlu mengambil bahagian daging daripada anggota saya yang lain untuk dijadikan implan pada kaki, kerana peluru itu telah membuang sebahagian besar daging kaki saya. Mereka memasukkan paku untuk memegang daging sementara sembuh dan membalut kaki saya dengan acuan.

Setelah 2 minggu saya keluar hospital, tentera Israel datang ke rumah saya pada tengah malam untuk menangkap saya. Saya ingatkan mereka akan membiarkan saya selepas menembak saya. Tetapi mereka mengherat saya dari katil, menggari saya dan menutup mata saya. Mereka mencampakkan saya ke dalam jip mereka.

Saya meluangkan masa dua minggu di Pusat Tahanan Ofer, Israel dekat Ramallah. Saya diabaikan daripada penjagaan perubatan oleh doktor di sana. Keadaan ini seolah-olah sengaja membiarkan kecederaan saya makin teruk.

Perkara pertama dilakukan adalah membuang acuan saya. Tanpa acuan, paku pada kaki saya akan tersangkut pada cadar katil pada malam. Darah sangat banyak setiap masa. Daripada menggantikan acuan itu, doktor mula membuang semua paku. Kecederaan saya menjadi semakin teruk selepas itu.

Tambahan pula, sakit bukan hanya pada fizikal. Kesemua kami yang dicederakan oleh tentera Israel juga mempunyai kesan psikologi kesan daripada trauma.

Saya menjadi ketagih pada ubat tahan sakit bagi mendapat kelegaan. Ayah saya mula menyembunyikan ubat itu daripada saya. Saya akan marah apabila tidak mendapatkannya. Saya mengalami beberapa gangguan. Saya juga menderita daripada halusinasi dan mula bercakap seorang diri.

Setiap orang kawan saya pernah dicederakan atau ditahan tentera Israel. Komuniti kami masih sedih atas kematian Reah al-Salhi. Dia adalah mangsa terbaru Israel dan semua orang di kem sangat sayang padanya. Setiap kami mungkin menerima nasib yang sama.

Issa dan saya adalah kawan baik. Kamilah dalam kalangan kawan-kawan yang tidak dipenjara atau mati kerana Israel.

Mustafa Elayan, 17: Mereka ingin melemahkan kami

“Saya meminta tolong, tetapi tiada sesiapa di sekeliling,” kata Mustafa.

Saya dalam perjalanan ke pintu masuk kem pada satu pagi tahun 2015, apabila pertelingkahan berlaku dengan tentera Israel. Apabila saya sampai, saya ditembak di kaki kanan oleh penembak tepat tentera Isreal yang berada di atas bumbung salah sebuah bangunan di situ.

Saya jatuh ke tanah. Saya menjerit meminta tolong, tetapi tiada sesiapa di sekeliling. Semua orang pertempiaran lari. Jadi, saya mengheret diri saya kembali ke kem. Beberapa orang di kem menemui saya dan membawa saya.

Askar Israel yang ditempatkan di setiap pintu masuk kem tidak membenarkan ambulan Palestin untuk masuk. Satu kereta persendirian membawa kami ke hospital. Tetapi memakan masa 40 minit untuk kami mencari jalan keluar dari kem. Darah saya mengalir di merata-rata. Saya hanya boleh fikirkan kesakitan yang dialami. Saya sangat takut saya tidak akan selamat tiba di hospital atau saya akan ditahan tentera Israel.

Saya dibawa ke Hospital Pemulihan Beit Jala. Doktor memberitahu saya mengalami kecederaan yang sangat jarang berlaku. Peluru telah menembusi kaki saya dan  menghancurkan saraf. Ada masanya, saya merasakan seperti renjatan elektrik mengalir ke saraf yang rosak itu.

Doktor cuba semua cara untuk mengurangkan kesakitan. Saya terpaksa telan pelbagai ubat tahan sakit. Akhirnya, doktor menyuntik ubat anestetik pada tulang belakang saya tapi tidak berhasil.

Hampir 5 bulan, apa yang saya rasa, lihat dan fikirkan hanyalah rasa sakit itu. Hospital mula kehabisan ubat tahan sakit. Jelas, saya perlu berpindah ke hospital lain.

Penduduk-penduduk di Dheisheh mula mengikuti perkembangan kes saya. Berminggu-minggu mereka protes dan menghalang lalu lintas di jalan utama di luar kem dan menuntut pihak Berkuasa Palestin (PA) melakukan sesuatu untuk membantu saya. Akhirnya, pihak PA berurusan dengan Israel dan saya bersama ibu saya dibenarkan masuk ke Israel untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tentera Tel Hashomer di Tel Aviv.

Ambulan menurunkan saya di Pusat Pemeriksaan “300” di Bethlehem di mana saya sepatutnya dipindahkan menaiki ambulan Israel. Tetapi askar Israel membiarkan saya di atas pengusung di jalan selama 4 jam. Mereka mempersenda saya dan menumbuk bahu saya dan berkata “Tahniah, kamu sekarang seorang wira” dan turut memberitahu saya akan ke penjara.

Apabila kami tiba, saya dan ibu saya tidak dapat berkomunikasi dengan sesiapa. Tiada sesiapa yang bercakap dengan kami dalam bahasa Arab. Saya menjerit sangat kuat kerana kesakitan. Jururawat memindahkan saya ke bilik berasingan di mana seorang pengawal Israel ditempatkan di luar bilik.

Mereka mengunci semua pintu dan tingkap. Mereka juga tidak membenarkan ibu saya keluar dari bilik. Ibu saya terpaksa tidur atas lantai yang sejuk dan keras kerana Israel tidak menyediakan alas tidur untuknya.

Saya menghabiskan masa 19 hari di hospital itu. Saya tidak menerima apa-apa rawatan. Mereka cuma memberikan saya Panadol setiap beberapa jam. Kadang-kadang seorang jururawat akan masuk bilik dan menjerit kepada saya dalam bahasa Arab, menuduh saya membaling batu dan menggelar saya musuhnya. Apabila kami cuba dapatkan maklumat daripadanya mengenai rawatan saya, dia akan berpura-pura tidak tahu bahasa Arab.

Kami tidak tahu nak berbuat apa. Saya menyesal pergi ke hospital itu. Cara saya dilayan, saya merasakan saya telah dicederakan buat kali kedua.

Keluarga dan rakan kami di Kem Dheisheh cuba menghubungi 1948 Palestinians di Facebook untuk mendapatkan bantuan. Beberapa orang daripada mereka datang ke hospital dan cuba untuk tahu apa yang berlaku. Doktor memberitahu mereka yang kaki saya akan dipotong.

Kami sangat takut. Pada satu hari, 1948 Palestinians masuk ke bilik saya.

Mereka membalut saya dengan selimut, meletakkan di atas kerusi roda dan menyeludup saya keluar dari hospital itu. Mereka membawa saya ke dalam kereta berpendaftaran kuning milik Israel dan memandu saya kembali ke Hospital Beit Jala.

4 bulan kemudian, sekumpulan aktivis dari Itali datang melihat saya di hospital selepas mendengar mengenai kes saya. Mereka membawa saya ke Itali untuk menjalani pembedahan. Hampir selepas setahun saya mengalami kecederaan itu.

Doktor di Itali memberitahu saya, satu hari nanti, saya akan boleh berlari lagi. Saya takkan rasa sakit lagi. Tetapi saya tidak rasa apa-apa dari lutut ke bawah. Saya juga tidak boleh menggerakkan kaki saya. Jadi saya tak berharap sangat untuk sembuh sepenuhnya.

Kecederaan ini menghancurkan hidup saya. Saya tidak boleh berjalan secara normal lagi. Saya juga sudah tidak ke sekolah sejak ditembak. Tak banyak yang boleh saya lakukan kini kecuali duduk di rumah atau kadang-kadang merayau di kem.

Keadaan saya ini tidak lagi pelik. Polisi Israel adalah tertumpu untuk melumpuhkan kami. Mereka tidak mahu membunuh kami. Mereka hendak membiarkan kami hidup tetapi membiarkan kami tidak berkuasa untuk menentang mereka. – Agensi

The post Kneecapping: Perkongsian pengalaman remaja Palestin ‘dicacatkan’ oleh regim Israel appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian