KPDNKK minta NGO tidak belakangi undang-undang

KUALA LUMPUR, 9 Safar 1439H, Ahad –Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta persatuan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak membelakangkan undang-undang dalam memperjuangkan hak golongan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata sebarang tindakan yang diambil mereka perlulah mengikut cara yang betul dan bukan secara membelakangkan undang-undang.

Menurutnya, NGO boleh memperjuangkan hak kepenggunaan asalkan apa yang mereka lakukan mengikut undang-undang dan dengan cara yang betul.

“Kalau ada NGO yang nak wakili pengguna yang kononnya perjuangkan hak pengguna, mereka kena bertindak mengikut cara betul kerana negara ini mempunyai undang-undang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Friends Of KPDNKK (FOK) di Kepala Batas, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan dua pegawai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini.

Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi (gambar, paling kiri) dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khasnya, Ali Salimin menyerah diri di IPD Kajang bagi membantu siasatan kes pencerobohan premis sebuah syarikat pajak kereta Julai lalu.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya akan memperkasa FOK sebagai sebuah NGO yang akan berperanan memperjuangkan hak pengguna di seluruh negara.

“Kita akan perkasa peranan FOK sebagai sebuah NGO yang bukan hanya berada di Kuala Lumpur tetapi di seluruh kawasan Parlimen.

“Pelantikan pengerusi akan diumumkan dalam masa terdekat mengikut kawasan Parlimen masing-masing. Selepas ini, orang ramai berhadapan masalah boleh terus berhubung dengan FOK untuk bantuan,” katanya.

Katanya, jumlah keanggotaan yang berdaftar sebagai ahli FOK secara keseluruhannya di seluruh negara adalah seramai 800,000 orang dan jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa agar suara pengguna akan didengar sebagai langkah mempertahankan hak-hak mereka.

The post KPDNKK minta NGO tidak belakangi undang-undang appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian