KUIN akan dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)
KUALA KETIL, 1 Safar 1439H, Sabtu – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah melahirkan rasa sukacita melihat penubuhan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sebagai institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di bawah kerajaan negeri terlaksana.
Baginda bertitah lebih manis apabila nama Almarhum kekanda baginda Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diabadikan pada institut berkenaan yang kelak akan dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).
“Beta bersyukur hasrat Almarhum Sultan Kedah ingin melihat penubuhan KUIN sebagai IPTS di bawah kerajaan Kedah telah dimakbulkan Allah SWT dengan diabadikan nama UniSHAMS,” titah baginda pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen ke-19 KUIN di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah di sini hari ini.
KUIN secara rasmi menerima kelulusan penubuhan universiti penuh daripada Kementerian Pengajian Tinggi dengan nama UniSHAMS pada 11 Ogos lalu.
Pendaftaran KUIN sebagai universiti penuh dijangka dapat direalisasikan selewat-lewatnya hujung tahun ini apabila beberapa syarat yang telah ditetapkan dapat dipenuhi.
Sehubungan itu Sultan Sallehuddin berharap agar KUIN dapat meningkatkan keunikan program yang ditawarkan melalui gabungan ilmu duniawi dan ukhrawi seperti Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Multimedia serta Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pelancongan.
“Beta menyeru kepada semua warga KUIN untuk bersama melaksana segala perancangan yang telah dirancang agar kampus Kuala Ketil dapat nafas baharu kepada penerokaan ilmu duniawi dan ukhrawi serta seterusnya menjadi universiti yang menyumbang kepada agama, bangsa, dan negara.
Pada istiadat tersebut, baginda dimahsyurkan sebagai Canselor KUIN menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Pengisytiharan pemasyhuran dibacakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Berangkat sama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff. – Bernama
The post KUIN akan dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan