Lebih ramai individu akan dipanggil beri keterangan

PUTRAJAYA, 13 Muharram 1439H, Selasa – Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tidak menolak bahawa lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Sitiawan, Jumaat lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata, keterangan itu akan direkodkan bergantung kepada perkembangan dan hasil siasatan, yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Siasatan masih berjalan. Kita akan rekodkan lebih banyak keterangan, namun ia juga bergantung kepada perkembangan siasatan,” kata Mohamad Fuzi kepada pemberita semasa ditemui di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) di sini hari ini.

Amanat itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada lebih 5,000 anggota perkhidmatan awam.

Ketika ditanya bila siasatan itu akan berakhir, tanpa mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata:

“Saya tidak boleh menjawabnya, kerana kita bergantung kepada laporan forensik dan perkara-perkara lain. Setakat ini, kita telah merekodkan keterangan daripada lebih tujuh individu.”

Pada Jumaat, dua anggota TLDM — Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, mati di dalam bilik tahanan semasa menjalani latihan fizikal.

Polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Setakat ini, lima anggota TLDM telah direman bagi membantu siasatan.- Bernama

The post Lebih ramai individu akan dipanggil beri keterangan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian