Liberalisme: Bendung sebelum membunuh

BARU-BARU ini kita telah membaca berita mengenai penahanan aktivis liberal Turki, Mustafa Akyol oleh Jabatan Imigresen ketika dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dia ditahan selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mendesak penganjur iaitu Islamic Renaissance Front (IRF) untuk membatalkan siri ceramah tokoh liberal itu di kampus Universiti Nottingham Malaysia. Dia dituduh tidak mempunyai tauliah mengajar dan dengan itu telah melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan).

Mustafa Akyol adalah seorang wartawan dan telah menulis beberapa buku kontroversial seperti ‘Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty’ dan buku terbarunya ‘The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims’.

Buku pertama dikatakan memfokus kepada kemunduran pemikiran rasional dalam peradaban Islam, setelah abad-abad permulaan, dengan budaya taklid yang melulu kepada kuasa autoriti. Buku terbaru pula menceritakan mengenai Jesus menyeru kaum Yahudi mengenai ‘Kingdom of God‘ yang bermaksud rohani masing-masing sebagai khalifah di dunia dan bukan merujuk kepada pemerintahan Khalifah yang pernah berlaku pada zaman para sahabat.

Mustafa juga menyatakan bahawa syariah dibuat untuk manusia bukan bermaksud pihak berkuasa boleh memaksa rakyat mengikut secara taklid dan tidak boleh diijtihad. Sebaliknya, perlunya ada sikap kritis dan kewarakan intelektual (intellectual humility) untuk menjadikan Islam dan umat Islam terus relevan.

Contoh yang diberikan ialah hukuman rejam kepada penzina sebenarnya untuk memelihara kesucian perkahwinan dan keluarga, jadi apa salahnya kita mencari penyelesaian yang lebih kurang sama berkesan dan kurang menyakitkan demi tujuan yang sama. Ini adalah kerana Tuhan yang menurunkan hukum syariah bukannya kuasa autokrat yang jahat, tetapi adalah Tuhan yang lemah lembut dan bertimbang rasa.

Sebelum ini, dalam satu forum anjuran IRF, Mustafa pernah menimbulkan kontroversi apabila mengatakan bahawa al-Quran tidak menyebut hukuman dikenakan ke atas dosa-dosa yang dilakukan seseorang, namun hukuman diperkenalkan oleh ulamak ke atas dosa-dosa melalui qiyas. Dia juga pernah mendakwa bahawa murtad dibenarkan dalam Islam kerana ia adalah kebebasan dan hak peribadi, bukan jenayah.

Apa itu liberalisme

Jika kita mengkaji mengenai liberalisme, fahaman ini mula muncul pada kurun ke-14. Liberalisme telah banyak mempengaruhi negara-negara Barat sehingga berlakunya Perang Saudara (1642M) dan Revolusi Inggeris (1688) di England pada kurun ke-17, Revolusi Perindustrian di Eropah pada kurun ke-18, Revolusi Amerika Syarikat pada kurun ke-18 juga (1776) dan Revolusi Perancis pada 1789.

Semua revolusi ini melawan pihak autokratik yang menindas masyarakat, seperti kuasa mutlak gereja, raja-raja dan penjajah. Akibat daripada penindasan ini, rakyat bangkit memperjuangkan hak untuk hidup, kebebasan dan bahagia.

Tiga prinsip asas fahaman ini ialah kebebasan peribadi, persamaan dan persaudaraan (liberty, equality and fraternity). Oleh itu, setiap hujah yang digunakan berpegang kepada tiga prinsip utama ini.

Falsafah liberalisme ini boleh didapati dalam pelbagai aspek sama ada agama, politik, ekonomi, sosial, dan moral. Antara ahli falsafah yang menjadi pejuang fahaman ini dalam kurun 17 dan 18 ialah John Locke, Immanuel Kant, Adam Smith, Benjamine Costant, James Madison dan John Stuart Mill.

Fahaman liberalisme ini sebenarnya tidak mampu bertahan sendiri tanpa adanya unsur-unsur atau nilai-nilai lain yang menyokongnya. Jadi, antara idea-idea atau unsur-unsur sokongan itu ialah sekularisme (bebas daripada agama), feminisme (gerakan pembebasan hak wanita), demokrasi liberal, pluralisme (semua agama adalah sama), rasionalisme (agama ditolak jika tiada asas rasional), hermeneutik (kaedah tafsir al-Quran untuk mencari kesilapan dalam al-Quran, bukan kebenaran) dan lain-lain.

Liberalisme dalam agama

Fahaman liberalisme dalam agama Kristian mula diperkenalkan oleh Martin Luther pada kurun ke-15 dan seterusnya mencetuskan mazhab Protestan pada abad ke-16. Gerakan Yahudi Liberal pula lahir pada kurun ke-19 sebagai usaha menyesuaikan dasar ajaran Yahudi dengan nilai zaman pencerahan Eropah (Enlightenment) yang berdasarkan pemikiran rasional dan bukti sains.

Agama Islam juga tidak ketinggalan daripada terkena tempias pemikiran liberal ini. Pemikiran liberal muncul dalam dunia Islam pada abad ke-18 Masihi, akibat terpengaruh dengan gerakan liberalisasi agama yang telah berlaku di Barat.

Perkembangan fahaman liberal dalam Islam juga turut dikatakan mempunyai kesinambungan dengan gerakan modenisasi Islam yang digerakkan oleh beberapa cendekiawan Islam pada abad ke-20 seperti Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh, bertujuan menjadikan umat Islam maju dalam bidang sains dan teknologi yang berasaskan falsafah Barat.

Kemunculan Islam liberal ini adalah berasaskan kerangka modenisme iaitu kepercayaan bahawa untuk maju, masyarakat perlu dibebaskan daripada kongkongan tradisi.

Menurut Uthman El-Muhammady (2008), Perkataan ‘Islam Liberal’ dikatakan mula dikenali pada tahun 1988, dipromosikan oleh Leonard Binder menerusi penulisannya yang bertajuk ‘Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies’ diikuti oleh Charles Kurzman dalam penulisannya “Liberal Islam: A Source-book“, yang diterbitkan pada 1998. Kedua-dua buku ini menjadi rujukan utama bagi pendukung fahaman Islam Liberal di seluruh dunia.

Tokoh pemikir Islam yang sering dikaitkan dengan perkembangan Islam Liberal ialah Nasr Abd Zaid; Hasan Hanafi; Ahmad Khan; Fazlur Rahman; Fatima Mernisi; Aminah Wadud; Irsyad Manji; Rifa’at Hassan; ‘Ali ‘Abd al-Raziq; Farid Esack; Nurcholis Madjid; Harun Nasution; Ahmad Wahib; Lutfi As-Syaukanie; Ulil Abshar; Musdah Mulia; Djohan Efendi dan ramai lagi.

Pengaruh Islam Liberal ini juga didapati turut disebarkan di Malaysia. Antara tokoh-tokoh yang dikatakan cuba mengembangkan fahaman ini di Malaysia ialah Kasim Ahmad; Farish Noor; Syed Akbar Ali; Zainah Anwar; Reza Shah-Kazemi; Astora Jabat; dan Zainudin Idrus.

Sementara pertubuhan yang terlibat pula ialah Musawah; Jemaah al-Quran; Sisters in Islam (SIS); G25; Suruhanjaya Antara Agama atau Inter Faith Commision (IFC); Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Women’s Aid Organisation (WAO); All Women’s Action Society (AWAM); dan The Joint Action Group for Gender Equality (JAG).

Ciri-ciri fahaman Islam liberal

Golongan Islam liberal ini dikatakan mempunyai pelbagai fahaman dan pemikiran yang menjadi dasar kepada perjuangan mereka. Pertama, ideologi Islam liberal mendukung idea pluralisme agama iaitu merujuk kepada semua agama yang wujud di kalangan manusia adalah benar dan menuju kepada Tuhan yang satu.

Kedua, menurut Khalif Muammar (2006), pendukung fahaman Islam liberal juga menolak autoriti agama dan menganut fahaman kebebasan untuk berijtihad. Atas dasar kebebasan berpendapat dan berijtihad inilah maka Islam liberal banyak merujuk kepada karya-karya orientalis Barat seperti Leornard Binder dan Charles Kurzman yang menyokong kuat idea-idea utama yang mendasari pemikiran mereka, seperti ijtihad yang bebas tanpa sekatan, pluralisme beragama, penolakan syariah dan sebagainya.

Bertitik tolak daripada pegangan bebas dalam berijtihad ini juga, golongan Islam liberal mendesak agar al-Quran ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran ulama-ulama terdahulu yang menurut mereka telah ketinggalan zaman dan tidak sesuai lagi untuk zaman yang serba canggih dan moden sekarang.

Aliran Islam liberal berpendapat bahawa dalam mentafsir al-Quran, tidak perlu terikat dengan disiplin-disiplin ilmu yang berkaitan atas alasan ia hanya relevan untuk masyarakat Arab zaman Rasulullah SAW dan ketinggalan untuk dipraktikkan pada zaman kini.

Ketiga, golongan Islam liberal juga menolak pelaksanaan syariah Islam dengan mengatakan bahawa pelaksanaan hukum Islam hanya akan memberi impak negatif kerana dianggap sangat bertentangan dengan hak-hak asasi manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman.

Atas dasar ini juga, mereka tidak ragu-ragu untuk mengubah bentuk hukuman yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah seperti sistem pembahagian pusaka, kewajipan menutup aurat bagi kaum wanita, keharusan poligami, hukum hudud dan hukuman bunuh ke atas muslim yang murtad, kepimpinan wanita dalam solat, hak mutlak suami untuk menceraikan isteri, larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam serta undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.

Keempat, menurut Muhamad Razak Idris (2006), fahaman Islam liberal juga sering dikaitkan dengan idea dan gerakan modenisme. Gerakan modenisme ini merupakan idea untuk membebaskan sesebuah masyarakat daripada kongkongan adat resam dan tradisi yang sempit yang dianggap penghalang kepada budaya kemajuan dan kebebasan.

Golongan Islam liberal adalah golongan yang bertanggungjawab memainkan peranan dalam menyebarkan ajaran dan idea gerakan modenisme ini. Bagi mereka, untuk mengecap kemajuan hidup, masyarakat perlu membebaskan diri daripada kongkongan tradisi dan agama.

Kelima, puak Islam liberal ini mendukung gerakan emansipasi atau pembebasan wanita dan feminisme. Gerakan feminisme Barat yang bertujuan mewujudkan persamaan di antara lelaki dan perempuan (gender equality), juga mempengaruhi pemikiran Islam liberal.

Aliran feminisme Islam liberal biasanya menuntut persamaan hukum-hakam syariah antara lelaki dan wanita. Perbezaan hukum syarak antara wanita dan lelaki Islam dianggap tidak adil. Golongan ini menganggap bahawa dalam Islam, wanita dan lelaki itu adalah dicipta daripada kejadian yang satu.

Oleh yang demikian, setiap apa yang menjadi hak kaum lelaki, mestilah juga menjadi hak kepada wanita. Maka, sebarang perbezaan hak atau keistimewaan yang terdapat di antara lelaki dan wanita mestilah dihapuskan kerana bagi mereka ia bersifat diskriminasi.

Langkah-langkah seterusnya

Atas dasar berkaitan ciri-ciri pemikiran liberalisme ini, di mana terdapat penyelewengan dalam aspek akidah dan syariah, maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-74 pada 25-27 Julai 2006 telah memutuskan pemikiran Islam liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Oleh itu, pelbagai pihak perlu tampil mencegah dan membendung ideologi ini daripada terus meresap dan membarah sebelum ia membunuh jiwa orang Islam yang ikhlas dan suci mentaati Allah kepada hati-hati yang rosak melakukan maksiat sesuka hati dan kufur kepada Allah.

Maka akan lahirlah daripada individu yang rosak pemikiran, akal, jiwanya, keluarga dan seterusnya masyarakat yang juga rosak hati, pemikiran dan akal mereka.

Walaupun ada yang mempertikaikan bahawa liberalisme ini hanya pemikiran atau ideologi, hakikatnya pemikiran terletak di akal dan akal itu suatu yang berbentuk rohani dan boleh mempengaruhi hati yang akan diterjemahkan dalam bentuk tingkah laku dan amal perbuatan.

Kalau kita menyingkap semula detik-detik kemasukan unsur falsafah serta budaya klasik Greek dan Parsi yang pernah berlaku suatu ketika dahulu, kita akan dapati bahawa pemikiran sesat yang dahulu terpendam dek kekuatan zaman kegemilangan Islam, akhirnya muncul dan terus merebak mempengaruhi pemikiran umat Islam ketika itu.

Pada masa itu, wujud aliran pemikiran kalam atau teologi Islam yang jelas terpesong daripada manhaj sebenar aqidah Islam seperti golongan Muktazilah, Khawarij, Murji’ah, Jabariyah, Qadariyah dan Syiah.

Maka ilmuwan-ilmuwan Islam seperti Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal tampil kepada masyarakat membetulkan akidah orang Islam melalui buku, kitab serta kuliah agama mereka.

Pada zaman ini, adalah menjadi suatu kebiasaan bagi institusi agama berautoriti mengeluarkan arahan pengharaman buku-buku tertentu demi menjaga kesucian pemikiran umat Islam.

Sebagai contoh Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar yang dipimpin oleh Syeikh al-Azhar sendiri telah banyak kali mengeluarkan keputusan rasmi mengenai pengharaman kitab-kitab tertentu yang dilihat boleh membahayakan akidah Islam di samping boleh memecahbelahkan umat Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri pernah mengharamkan buku-buku karangan Irsyad Manji, Kassim Ahmad, Faisal Tehrani dan G25.

Langkah yang dilakukan oleh pihak Jawi dan Jabatan Imigresen adalah tepat sekali dalam menghalang kemasukan pemikir-pemikir liberal seperti Ulil Absyar dan Mustafa Akyol yang boleh menggugat akidah dan merosakkan pemikiran umat Islam.

Kerajaan berhak melakukan demikian demi menjaga kesucian agama Islam dan menjamin pembangunan urusan dunia. Mungkin sudah tiba masanya suatu akta jenayah dikuatkuasakan bagi menghalang penularan bebas ideologi-ideologi sesat ini melalui media massa, ceramah, seminar, buku dan lain-lain.

Dr Norzila binti Baharin
Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia
Isma

The post Liberalisme: Bendung sebelum membunuh appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian