Malaysia sudah jadi Darul Penyangak, kata Dr Mahathir

BANGI, 4 Safar 1439H, Selasa – Malaysia kini sudah bertukar menjadi Darul Penyangak atau kleptokrasi, di mana pemerintahnya mencuri duit rakyat secara halal, dan lebih kerap dengan cara haram, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan khusus bagi menyediakan wang untuk dicuri dan prosesnya mudah.

“Syarikat pinjam berbillion Ringgit dengan jaminan Kerajaan. Duit itu dilabur dalam syarikat yang tidak wujud yang memiliki telaga minyak hanya dalam kertas. Sebenarnya duit itu dimasuk ke dalam akaun orang tertentu, dipindah dari sebuah bank ke sebuah bank, di negara-negara yang berlainan. Akhirnya duit itu terdapat dalam akaun MO1.

“Apabila MO1 ditanya dari mana datangnya duit berbillion itu, jawapannya mudah sahaja. Arab derma. Dan AG pun mengesahkan. Tidak ada apa-apa salahlaku. Dan ini disahkan pula oleh MO1 iaitu oleh pencuri sendiri. Kes tutup,” katanya dalam blog beliau hari ini

Dr Mahathir berkata, manakala dalam cara yang halal dari segi undang-undang pula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, subsidi dihapuskan, namun bagi rakyat kesannya tiada beza daripada mencuri.

“Dalam negara Darul Penyangak pula, jabatan-jabatan sibuk mencari duit. Jabatan Cukai menyerang syarikat kerana kononnya tidak bayar cukai. Syarikat jelas bahawa semua cukai sudah dibayar. Resit dan buku akaun ditunjuk.

“Tetapi jabatan cukai dakwa ada cukai yang belum dibayar selama 10 tahun ke belakang. Jumlahnya ialah 50 million Ringgit. Bayar 50 million atau tindakan akan diambil.

“Jika bantah, atau dakwa di mahkamah, sementara itu semua duit dalam bank dibekukan. Syarikat tidak dapat berniaga. Nak bayar gaji pun tak boleh. Sudah tentu tak dapat bantu parti lawan. Yang akhir ini ialah tujuan utama,” katanya.

Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula menuduh seteru pemerintah terlibat dengan rasuah.

“Sementara bukti dicari tertuduh ditangkap dan dihadiah baju oren bertulis “lokap”. Pemberita dijemput untuk ambil gambar. Masyarakat dapat lihat penjenayah yang belum terbukti salah. Sekali lagi beku akaun bank. Duit beku tidak boleh diguna untuk politik. Terselamatlah penyangak Darul Penyangak.

Dr Mahathir berkata, banyak lagi cara yang digunakan untuk menyamun duit rakyat sama ada dalam syarikat, peribadi atau dengan cukai atau bayaran ciptaan.

“Sementara itu jika penyangak yang menguasai Darul Penyangak diketahui jelas melesapkan berbillion wang pemerintah, badan-badan tertentu tidak berbuat apa-apa. Walaupun dunia tahu penyangak yang memimpin mencuri, walaupun laporan dibuat oleh Bank Negara, BPR dan PAC yang jelas membukti siapa yang mencuri tidak ada apa tindakan diambil.

“Maka hidup mewahlah kepala penyangak dan anak penyangak dan konco-konco. Malangnya duit yang disauk adalah duit yang dipinjam. Dan pinjaman mesti dibayar. Tak mengapa. Jual bond. Cukup laku kerana banyak dana simpanan rakyat dikuasai oleh penyangak. Maka dana seperti KWSP, Tabung Haji dan lain-lain pun beli dan pemerintah Darul Penyangak pun dapat bayar hutang lama dengan hutang baru. Dengan itu Darul Penyangak masih menanggung hutang.

“Jika duit yang dari hutang baru tidak mencukupi, tak mengapa. Negara boleh dijual. Sekeping demi sekeping boleh dijual. Hasil jualan diguna untuk bayar hutang dan sebahagian lagi disapu oleh penyangak. Dengan itu selesailah hutang. Tetapi Darul Penyangak sudah dimiliki orang. Dan rakyat pun jadi hamba kepada pemilik negara yang baru,” katanya.

The post Malaysia sudah jadi Darul Penyangak, kata Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian