Mati itu pasti, bersediakah kita?

 

APAKAH matlamat hidup anda di dunia? Selepas anda mati, apakah nasib perjalanan hidup anda di alam seterusnya? Bagaimana caranya untuk anda berjaya di dunia dan di alam akhirat?

Tanya tiga soalan ini kepada diri anda berkali-kali setiap hari. Ingat, kehidupan di dunia hanya sementara. Destinasi sebenar anda ialah negeri akhirat yang kekal abadi. Persoalannya, bagaimana untuk memastikan minda dan tindakan anda sentiasa ingat mati dan termotivasi untuk berusaha bersedia menghadapinya?

1. Kenang kenalan yang telah meninggal dunia. Cuba anda ingat kembali cara hidup mereka, umur ketika mereka meninggal dunia, faktor kematian dan nasib anak isteri/suami serta ahli keluarga yang ditinggalkan. Ziarahi, berinteraksi dan santuni ahli keluarga dan sanak saudara yang telah ditinggalkan. Dengan cara ini, anda akan dapat menghayati erti sebuah pemergian dan melakukan refleksi terhadap diri sendiri. Contohnya soalan-soalan yang akan bertandang ke dalam pemikiran anda:

a. “Sudah bersediakah aku untuk menghadapi mati pada bila-bila masa dari sekarang?”
b. “Apakah persediaan amal peribadi dan amal ahli keluarga yang perlu aku bina dari sekarang sebelum meninggalkan mereka semua?”
c. “Apakah nilai dan kenangan yang aku mahu tinggalkan kepada ahli keluarga dan rakan taulan setelah aku pergi nanti?”

2. Melawat jenazah. Ini termasuk dalam salah satu hak seorang Muslim terhadap Muslim lain seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:

Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam. Jika kamu bertemu dengannya maka ucapkanlah salam, jika ia mengundangmu maka penuhilah undangannya, jika ia meminta nasihat kepadamu maka berilah ia nasihat, jika ia bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ maka doakanlah ia dengan ‘Yarhamukallah’, jika ia sakit maka jenguklah dan jika ia meninggal dunia maka iringilah jenazahnya.”
(Hadith riwayat Muslim)

Melihat sendiri proses memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan, mengiringi jenazah ke pusara dan mengkebumikannya sudah tentulah memberikan pengalaman yang amat berimpak tinggi terhadap hakikat kematian dan nilai kehidupan di dunia yang fana ini. Ia merupakan tazkirah yang hidup kerana menggunakan setiap panca indera manusia seperti mata (melihat jenazah dan suasana pengurusan jenazah), telinga (mendengar tangisan ahli keluarga dan talkin yang dibacakan imam), lidah (mengucapkan doa, ucapan takziah dan zikir sepanjang proses pengurusan jenazah) dan hidung (bau kapur barus dan aroma tanah kubur).

3. Menziarahi kubur. Bagi memastikan momentum dan keinsafan mengenai kematian kekal, anda perlu kerap menziarahi kubur. Kerana bukan setiap masa ada rakan atau saudara terdekat anda yang meninggal dunia, tapi akan sentiasa ada tanah perkuburan yang berdekatan untuk anda singgahi bagi mendapatkan tazkirah kematian yang sebenar secara berkala dan konsisten. Inilah amalan yang juga sering dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sepanjang hayat Baginda. Selain berfikir dan memuhasabah diri, kita juga digalakkan untuk membacakan doa yang bermaksud:

Semoga keselamatan tercurah kepada kalian, wahai penghuni kubur, daripada (golongan) orang beriman dan orang Islam. Semoga Allah s.w.t merahmati orang yang mendahului kami dan orang yang datang kemudian. Kami insya-Allah akan menyusul kalian, saya meminta keselamatan untuk kami dan kalian.”

4. Sering bersendirian. Beruzlah dalam keadaan sunyi dan gelap terutama pada dua pertiga malam adalah cara paling efektif untuk merasai sendiri suasana dalam kubur. Bilakah peluang terbaik untuk anda mendapatkan peluang ini? Ya, tidak lain dan tidak bukan ketika anda bangun di tengah malam untuk bertahajud.

Qiamullail selain mampu membina kekuatan jiwa yang luar biasa juga mampu mengingatkan anda terhadap keadaan sebenar di dalam kubur. Memintalah dan menangislah semahu-mahunya di atas tikar sejadah ketika nyawa masih di kandung badan, kerana di dalam kubur nanti tiada siapa yang dapat membantu kecuali amalan.

5. Menghafal dan menghayati ayat Al-Quran berkaitan kematian. Terlalu banyak ayat Al-Quran yang menyentuh perihal kematian, alam kubur, hari kiamat, padang mahsyar, titian sirat, syurga dan neraka. Cuma persoalannya adakah anda melazimi pembacaan Al-Quran dan cuba memahami serta menghayati makna setiap ayat yang dibaca? Terlebih baik jika anda dapat menghafal beberapa potong keratan ayat Al-Quran yang berkenaan untuk dijadikan peringatan diri. Baca dan hayati ia, ketika mula terdetik di hati untuk melakukan maksiat. Sampaikan dan sebarkan ia, moga mampu mengubah dan mempengaruhi hati-hati dari jalan syaitan yang sesat.

6. Melazimi doa-doa berkaitan mati. Doa itu senjata bagi orang Mukmin. Ungkapkannya selepas solat fardu, solat sunat, ketika melakukan iktikaf di masjid, sebelum berbuka puasa, ketika sedang berqiamullail bahkan pada setiap masa yang tersisa. Sebaik-baik doa ialah yang diambil daripada Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Contohnya:

Ya Allah, ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada siksa neraka.” (Hadith riwayat Bukhari dan Ahmad)

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari azab Jahannam, dari azab kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari keburukan fitnah Masih Dajjal.” (Muttafaq ‘alaih)

Ya Allah, Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak. Tidak ada yang mampu mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan ampunan dari sisi-Mu dan rahmati aku. Sesungguhnya Engkau Zat Maha Pengampun lagi Penyayang.” (Muttafaq ‘Alaih)

7. Muhasabah Diri. Walaupun diletakkan pada susunan terakhir, bukanlah bermakna muhasabah diri kurang impaknya bagi anda untuk mengingati mati, bahkan metod ini boleh jadi antara yang paling berkesan kerana ia mudah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Biasanya ia dilakukan sebelum tidur dengan menyoal diri sendiri mengenai makna dan matlamat hidup, dosa-dosa yang telah dilakukan, perancangan masa depan dan lain-lain. Saya dapati antara cara yang paling berkesan ialah dengan membayangkan setiap hari yang kita lalui merupakan hari terakhir kita hidup di atas muka bumi ini. Sanggupkah kita terus bermaksiat serta melakukan pelbagai jenis kemungkaran lagi?

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang waktunya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaat, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Al-A’raaf:34)

Persoalannya, bersediakah kita?

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Kluster Tarbiah ISMA

The post Mati itu pasti, bersediakah kita? appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian