PBB senarai hitam pakatan tentera diketuai Arab Saudi
YAMAN, 16 Muharram 1439H, Jumaat – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasukkan pakatan tentera diketuai Arab Saudi dalam senarai hitam pelanggaran hak asasi apabila menyebabkan kematian dan kecederaan ratusan kanak-kanak dalam perang di Yaman.
Pakatan tentera itu yang ditubuhkan pada 2015 dimasukkan dalam senarai hitam tahunan PBB kerana menyebabkan kematian dan mendatangkan kecederaan kepada 683 kanak-kanak, selain melakukan serangan terhadap sekolah serta hospital sepanjang tahun lalu.
Laporan tahunan PBB mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata itu bagaimanapun, menyatakan pakatan tentera berkenaan sudah mengambil langkah bagi melindungi kanak-kanak daripada terkena serangan.
Kumpulan pemberontak Houthi, tentera kerajaan Yaman, kumpulan pro-kerajaan dan Al-Qaeda di Semenanjung Arab turut disenaraihitamkan kerana melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak sepanjang tahun lalu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyerahkan laporan itu kepada Majlis Keselamatan PBB semalam.
“Laporan yang dikeluarkan ini bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran, namun ianya juga untuk mengurangkan tragedi berdarah membabitkan kanak-kanak,” kata Guterres dalam satu kenyataan. – Agensi
The post PBB senarai hitam pakatan tentera diketuai Arab Saudi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan