Pegawai kanan Hamas selamat dalam cubaan bunuh

Pemimpin Hamas, Ismail haniyeh melawat Tawfiq Abu Naim yang cedera apabila keretanya diletupkan, semalam.

GAZA, 8 Safar 1439H, Sabtu – Ketua Pasukan Keselamatan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Semenanjung Gaza, cedera apabila keretanya meletup semalam, dalam apa yang disifatkan oleh Hamas sebagai ‘kegagalan cubaan membunuh’.

“Ketua Pengarah Pasukan Keselamatan Dalaman Hamas, Tawfiq Abu Naim, terselamat daripada percubaan bunuh semalam, selepas keretanya meletup di kem pelarian Nusseirat.

“Beliau hanya cedera ringan dan dirawat di hospital. Pasukan keselamatan telah memulakan siasatan untuk mengetahui kejadian dan menangkap pelakunya,” kata kenyataan Hamas.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca letupan itu.

Hamas, yang sebelum ini cepat menuding jari kepada Israel jika berlaku tindakan seperti itu, bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang berada di sebalik serangan bom kereta itu.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan selepas solat Jumaat itu.

Kejadian itu berlaku ketika ketegangan di Gaza tatkala Hamas bakal menyerahkan pentadbiran dan kuasa di Semenanjung Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Fatah diketuai Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Kedua-dua pihak sebelum ini menandatangani perjanjian damai, menamatkan perpecahan beberapa dekad.

PA dijadual mengambil alih kawalan di Semenanjung Gaza mulai 1 Disember ini.

Usaha mendamaikan kedua-dua pihak sebelum ini beberapa kali gagal, disebabkan keengganan Hamas meletak senjata dan membubarkan sayap bersenjatanya yang dianggotai 25,000 pejuang.

Hamas mengambil alih kawalan ke atas Gaza pada 2007 selepas mengalahkan Fatah dalam pilihan raya tempatan, yang hampir mencetuskan perang saudara.

Hamas juga dipaksa mengiktiraf Israel, tetapi pergerakan itu enggan berbuat demikian.

Penduduk Palestin yang berada di wilayah dikuasai Hamas sejak beberapa bulan lalu berdepan kesukaran dan sekatan, termasuk pemotongan tempoh kegunaan bekalan elektrik, dan potongan gaji yang dibayar oleh PA. – Agensi

The post Pegawai kanan Hamas selamat dalam cubaan bunuh appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian