Pencatuan: Pengguna digesa lapor kepada kementerian

KUALA LUMPUR, 13 Muharram 1439H, Selasa – Para pengguna di negara ini diseru untuk menjadi mata dan telinga bagi menyampaikan maklumat tentang aktiviti pencatutan dan kenaikan harga kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pencatutan, Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Low Swee Hon berkata, kementerian akan melakukan pemeriksaan atau penyiasatan ke atas potensi berlakunya pencatutan berdasarkan aduan mengenai kenaikan harga barangan.

“Jadi, para pengguna dinasihatkan menggunakan semua saluran yang disediakan untuk membuat aduan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama Portal semalam.

Bagaimanapun, Low berkata, pengguna perlu benar-benar memahami makna istilah pencatutan yang mana dari segi fahaman umum bermaksud sesuatu pihak mengambil kesempatan untuk cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga bagi mengaut untung lebih.

“Namun, dari segi perundangan, definisi pencatutan di bawah Akta Pengurangan Harga Anti Pencatutan 2011 membawa maksud membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah dan ia merupakan satu kesalahan,” katanya.

Menurut beliau lagi, Peraturan-peraturan Kawalan Harga Anti Pencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) telah berkuat kuasa pada 1 Jan 2017 ke atas barangan.

Low memberitahu di bawah peraturan ini, para peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum untuk kesalahan pertama RM100,000 atau tiga tahun penjara, RM250,000 atau lima tahun penjara untuk kesalahan kedua dan seterusnya bagi individu.

Bagi syarikat-syarikat yang didapati melanggar peraturan ini pula penalti RM500,000 boleh dikenakan untuk kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Penalti yang dikenakan agak tinggi kerana pihak KPDNKK ingin memberikan mesej yang jelas dan tegas kepada para peniaga yang tidak bertanggungjawab supaya jangan mengambil kesempatan ke atas sesuatu keadaan untuk menaikkan harga dengan tujuan mengaut keuntungan yang tinggi,” tambah Low.

Menurut beliau lagi, perkhidmatan tidak tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Harga Anti Pencatutan kerana hanya tiga kategori barangan sahaja yang dikuatkuasakan untuk akta ini iaitu makanan dan minuman, barangan isi rumah serta produk penjagaan diri.

KPDNKK turut berkongsi garis panduan Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah serta cara pengiraannya di laman web kementerian www.kpdnkk.gov.my.

Para pengguna dialu-alukan untuk menyampaikan aduan mengenai aktiviti pencatutan ke laman web yang sama atau melalui talian bebas tol KPDNKK, talian 1MOCC, e-mel, SMS, media sosial rasmi KPDNKK atau hadir sendiri ke pejabat KPDNKK yang berhampiran.- Bernama

The post Pencatuan: Pengguna digesa lapor kepada kementerian appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian