PLUS tutup sementara lorong tambah nilai

BANGI, 21 Muharram 1439H, Rabu – PLUS Malaysia Berhad akan menutup sementara operasi 134 lorong tambah nilai di plaza tol di lebuh raya itu bersempena cuti perayaan Deepavali.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penutupan yang bermula pada 17 Oktober hingga 19 Oktober itu adalah untuk membantu melancarkan lagi perjalanan trafik dan mengurangkan kesesakan di lorong-lorong tambah nilai plaza tol.

Bagaimanapun, penutupan itu tidak melibatkan lorong tambah nilai di plaza tol Bukit Kayu Hitam dan Bangunan Sultan Iskandar.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, secara purata satu transaksi urusan tambah nilai boleh mencecah sehingga tiga minit untuk setiap kenderaan.

“Oleh itu, penutupan Lorong Tambah Nilai di plaza tol adalah amat perlu bagi mengelakkan kesesakan disebabkan oleh pengguna lebuh raya beratur untuk menambah nilai kad mereka pada musim perayaan ini,” katanya.

Justeru katanya, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad Touch n Go mempunyai baki mencukupi, atau menambah nilai di 9,200 lokasi lain termasuk mesin ATM, kedai serbaneka 24 jam dan stesen-stesen minyak.

“Pengguna juga boleh menambah nilai kad mereka di semua stesen minyak di semua R&R di sepanjang lebuh raya,” katanya.

Azman berkata, langkah sama juga telah dilaksanakan oleh syarikat konsesi itu pada perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha yang lalu.

“Berdasarkan pemerhatian dan kajian kami, langkah menutup sementara semua perkhidmatan Lorong Tambah Nilai pada musim perayaan yang lalu telah berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol.

“Justeru itu, kami akan menggunakan pendekatan yang sama pada musim perayaan ini dan perayaan yang akan datang,” katanya.

The post PLUS tutup sementara lorong tambah nilai appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian