Raja Puan Besar Perak mangkat

IPOH, 13 Muharram 1439H, Selasa – Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, mangkat pada jam 5.07 petang tadi pada usia 75 tahun.

Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, melalui kenyataan perisytiharan kemangkatan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar di sini, malam ini.

“Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah telah mangkat pada pukul 5.07 petang, hari Selasa tarikh 3 Oktober 2017 Masihi bersamaan 12 Muharam 1439 Hijrah.

“Sebagai tanda bersedih dan dukacita dengan kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, dengan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Negeri Perak akan berkabung sehingga selesai permakaman dan bendera negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dikibarkan separa tiang.

“Saya Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhumah Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah subhanahuwataala dalam kalangan para solehah,” katanya dalam kenyataan itu.

Raja Nor Mahani dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014 serentak dengan pemasyhuran Raja Jaafar Raja Muda Musa sebagai Raja Muda Perak.

Almarhum dilahirkan pada 18 Oktober 1942 di Kuala Lumpur, berkahwin dengan Raja Jaafar pada 1970 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raja Shah Azman, 43, dan Raja NorAzwina, 41.

Zambry berkata, jenazah Almarhumah akan disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di Hilir, di sini dan rakyat jelata boleh memberi penghormatan terakhir mulai jam 10 pagi hingga 11.30 pagi esok, manakala bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula jam 11.30 pagi.

Katanya, jenazah akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.

The post Raja Puan Besar Perak mangkat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian