Sekolah vernakular wajib pastikan pelajar kuasai bahasa Malaysia: Sultan Nazrin

IPOH, 3 Safar 1439H, Isnin – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah sekolah vernakular wajib mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajar berupaya menguasai bahasa Malaysia dengan tahap kefasihan setanding atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan.

Baginda bertitah, usaha untuk memfasihkan setiap pelajar menguasai bahasa kebangsaan hendaklah diterima sebagai satu cabaran dan pencapaian pelajar menguasainya dijadikan satu daripada indeks utama pengukuran pencapaian sekolah vernakular.

“Kejayaan sekolah vernakular memfasihkan anak didik mereka menguasai bahasa kebangsaan akan membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu dan meminimumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat terhadap sekolah vernakular,” titah baginda.

Sultan Perak turut menarik perhatian bahawa adalah janggal dan ironis jika seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa Kebangsaan yang merupakan identiti sesebuah negara bangsa.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet 2017, di sini, hari ini. Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis itu.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sultan Nazrin Shah bertitah, sekolah vernakular wajib menghargai pendirian terbuka kerajaan yang membenarkan sekolah aliran tersebut terus beroperasi dan penghargaan itu wajib diterjemahkan dengan menjadikan sekolah tapak memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di negara ini.

“Para pengasas negara ini, ketika menggubal Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Penyata Razak telah memperkenalkan konsep satu aliran persekolahan dikenali sebagai sekolah kebangsaan untuk menyatupadukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

“Namun dinamik yang berlaku pada kemudian hari telah menampilkan pelbagai cabaran baharu yang memerlukan beberapa pengubahsuaian dilakukan. Sekolah vernakular lalu diberikan kebenaran untuk terus beroperasi,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah warga sekolah bukan berketurunan Cina di sekolah vernakular perlu bersifat proaktif menerokai ruang dalam kalangan pelajar pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa supaya dapat memahami serta bekerjasama antara satu sama lain.

Titah Sultan Nazrin, persefahaman hubungan dan jalinan harmoni antara kaum yang berjaya dipupuk, berpengaruh besar untuk membina masa hadapan Malaysia yang lebih bersatu serta gemilang.

​​​​​​​”Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat dan institusi di bawah payung naungan negara untuk mengamalkan sikap terbuka, mengelak sebarang prasangka, menolak suara ekstremisme sama ada atas nama kaum atau agama.

“Malaysia subur kerana kepelbagaian agama, kaum, budaya serta bahasa yang berjaya dianyam secara harmoni dan itulah identiti negara bangsa yang telah menjangkau usia 60 tahun sebagai negara berdaulat dan merdeka.

“Identiti negara bangsa ini perlu dipertahankan bersama,” titah baginda.- Bernama

The post Sekolah vernakular wajib pastikan pelajar kuasai bahasa Malaysia: Sultan Nazrin appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian