Tiada pampasan kren tumbang di Makkah: TH minta penjelasan Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 4 Safar 1439H, Selasa – Malaysia belum mendapat maklumat rasmi berhubung keputusan mahkamah Arab Saudi yang memutuskan waris dan mangsa insiden kren tumbang di Masjidil Haram pada 2015 tidak akan mendapat pampasan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau telah meminta Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung dengan Arab Saudi bagi mendapatkan kesahihan perkara itu.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Tinggi di Parlimen hari ini, beliau berkata, kerajaan perlu mendapatkan kesahihan berita itu sebelum membuat sebarang tindakan susulan.

“Kita belum mendapat maklumat rasmi mengenai perkara ini.

“Saya sudah meminta TH menghubungi kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan kesahihannya,” katanya sebagai menjawab Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi).

Saudi Gazette melaporkan, mahkamah di Makkah memutuskan kesemua mangsa tragedi kren tumbang tiga tahun lalu tidak akan dibayar wang pampasan ekoran melihat insiden tersebut sebagai kejadian alam, bukannya kecuaian manusia.

Malah, mahkamah turut membebaskan seramai 13 orang pekerja Binladin Group yang bertanggungjawab mengendalikan kren berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan itu dibantah Peguam Negara Arab Saudi yang akan mengemukakan rayuan.

Seramai 108 orang terbunuh manakala 238 lain cedera ketika sebuah kren tumbang di bahagian timur kompleks Masjidil Haram.

Insiden itu turut meragut nyawa tujuh jemaah haji rakyat Malaysia dan 11 lagi cedera.

The post Tiada pampasan kren tumbang di Makkah: TH minta penjelasan Arab Saudi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian