Tingkat dua bangunan CIGC dan IMK UniMAP terbakar
ARAU, 15 Muharram 1439H, Khamis – Tingkat dua sebuah bangunan tiga tingkat yang menempatkan Centre of Industry and Govermental Collaboration, dan Institute of Mathematics Engineering (CIGC dan IMK) ) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus induknya di sini terbakar dalam satu kejadian, malam ini.
Kebakaran itu dipercayai bermula pada waktu maghrib, namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis berjaya mengawal api dari merebak ke bahagian lain bangunan.
Menurut Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Mohamad Firdaus Yusof kira-kira 70 peratus tingkat dua bangunan tersebut musnah manakala punca kebakaran masih disiasat.
Katanya, sejumlah 23 anggota dari Balai Arau, Kangar dan Kuala Perlis dikerahkan untuk memadam kebakaran setelah menerima panggilan pada pukul 7.27 malam.
“Semasa tiba kami melihat kepulan asap di tingkat dua. Beberapa anggota memasuki tingkat tersebut dan memecahkan siling bagi melancarkan pengudaraan (ventilation) dan api dapat dipadam pada jam 8.07 minit malam,” kata Mohamad Firdaus di tempat kejadian malam ini.
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal yang ditemui di tempat kebakaran berkata, bangunan tersebut merupakan pusat pentadbiran CIGC dan IMK manakala dokumen-dokumen penting seperti Memorandum Persefahaman (MoU) disimpan di bangunan tersebut.
Katanya kemusnahan lain dan nilai kerugian tidak dapat ditaksirkankan lagi sehingga siasatan lengkap selesai.
“Saya bersyukur kerana kebakaran ini tidak membabitkan kehilangan jiwa atau kecederaan ke atas manusia,” tambah beliau.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP ditemani pegawai-pegawai kanan universiti hadir meninjau bangunan yang terbakar itu.- Bernama
The post Tingkat dua bangunan CIGC dan IMK UniMAP terbakar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan