TLDM sahkan dua anggota meninggal dunia sihat sebelum ditahan

LUMUT, 8 Muharram 1439H, Sabtu – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan 2 anggotanya yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, berada dalam keadaan sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan itu.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Kamarulzaman Badaruddin berkata, TLDM sememangnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang setiap anggota yang dimasukkan ke pusat tahanan perlu menjalani ujian kesihatan terlebih dahulu.

“Kami mengesahkan bahawa 2 anggota terbabit sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan, namun kami tidak mahu mengulas lanjut mengenainya kerana ia masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 51 Veteran Pasukan Khas Laut (Paskal) sempena sambutan Ulang Tahun Paskal ke-35 di Markas Paskal TLDM di sini hari ini.

Beliau berkata Lembaga Siasatan TLDM yang bersidang semalam tidak akan campur tangan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya membincangkan serta meneliti semula SOP.

“Lembaga ini akan meneliti sama ada SOP masih relevan dan komprehensif diguna pakai selain menyiasat sama ada anggota yang bertugas ketika kejadian mematuhi SOP atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, lembaga itu yang terdiri daripada 5 anggota, diketuai kapten dan kesemua mereka mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Kamarulzaman berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi atau melindungi anggota yang melakukan jenayah selain memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi membantu proses siasatan.

“Keadilan perlu ditegakkan dan saya akan pastikan anggota yang bersalah dikenakan tindakan undang-undang kerana ia menjejaskan imej, kebajikan dan integriti perkhidmatan,” katanya sambil menambah pusat tahanan itu tidak akan ditutup.

Tambah Kamarulzaman, pihaknya turut melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan TDLM akan membantu anggota keluarga daripada aspek kebajikan.

LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan berkenaan dipercayai didera berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Susulan itu, 3 anggota TLDM direman selama 7 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan. -Bernama

The post TLDM sahkan dua anggota meninggal dunia sihat sebelum ditahan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian