56 mangsa sindiket pengemis diselamatkan sejak Julai tahun ini

SHAH ALAM, 24 Safar 1439H, Isnin – Polis Selangor telah menahan 52 orang dan menyelamatkan kira-kira 56 mangsa termasuk kanak-kanak daripada kegiatan sindiket mengemis, sejak Julai tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya telah menjalankan 24 serbuan di bawah Op Ehsan untuk menangani masalah itu.

“Sindiket-sindiket ini menggunakan agama atau kebajikan untuk mempengaruhi orang ramai, dan ia tiada toleransi lagi.

“Kita tidak peduli jika mereka mempunyai dokumen untuk menunjukkan mereka adalah sah kerana ia menyalahi undang-undang, kecuali dalam kes-kes tertentu. Kita akan mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut Mazlan, pihak polis telah memantau sindiket berkenaan yang menggunakan kanak-kanak berusia lapan tahun, warga tua dan orang kurang upaya (OKU) untuk menjalankan kegiatan itu.

“Mereka akan ditinggalkan di kawasan tertentu pada waktu pagi untuk mengemis, dan menjemput mereka pada waktu petang.

“Kita berjaya menangkap beberapa pemandu dan ahli sindiket terbabit,” katanya.

Beliau berkata, 40 daripada jumlah suspek sindiket terbabit yang ditahan merupakan warga asing, dan sejumlah besar mangsa dikenalpasti daripada Myanmar.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket berkenaan, dan segera menghubungi polis sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan.

“Restoran juga perlu berperanan dan tidak membiarkan mereka masuk ke premis untuk mengemis,” katanya.

The post 56 mangsa sindiket pengemis diselamatkan sejak Julai tahun ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian