“60 tahun merdeka Bahasa Melayu seperti bahasa kedua”

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 27 Safar 1439H, Khamis – Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman berharap, tidak ada pihak yang mempertikai usaha kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Kabinet Memperkasakan Bahasa Melayu.

Jawatankuasa itu adalah untuk mewujudkan akta penguatkuasaan undang-undang, yang mana sekaligus memberi kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan kepada mereka yang tidak mengutamakan Bahasa Kebangsaan.

Bersetuju dengan penubuhan itu, Datuk Deraman berkata, langkah yang dibuat sebenarnya adalah kaedah bagi memurnikan penggunaan Bahasa Kebangsaan.

“Bayangkan selepas 60 tahun kita merdeka, Bahasa Melayu seperti bahasa kedua. Mereka seolah tidak mengambil tanggungjawab mengutamakan bahasa sendiri.

“Sedangkan, DBP dari segi gerakan Cintakan Bahasa, kempen bulan Bahasa Kebangsaan, macam-macam sudah buat. Tapi, semuanya tidak ada kesedaran.

“Kadangkala perasmi atau orang besar dalam sesuatu majlis, datang bercakap tapi seperti tanam tebu di bibir mulut. Agenda mereka sendiri pun, tidak mahu dilaksanakan. Mereka seperti tidak endah. Kadang kala hanya bercakap di majlis, tapi tidak buat pada peringkat masing-masing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu adalah bagi memastikan Bahasa Kebangsaan diutamakan dalam setiap sektor di dalam negara ini.

Katanya, jika jawatankuasa itu diluluskan di peringkat Parlimen, DBP bukan hanya menjadi tempat rujukan bahasa dan menasihati, bahkan DBP mempunyai kuasa untuk mengheret mereka yang ingkar selepas diberi teguran ke mahkamah.

Dato Deraman berkata, selain memberi kuasa kepada DBP, beliau turut mencadangkan agar DBP menubuhkan satu pasukan khidmat nasihat yang sesuai peruntukan akta DBP, yang memperuntukkan supaya agensi itu boleh menegur, memberi nasihat dan membantu dari segi penggunaan bahasa seperti di papan tanda, di gedung perniagaan dan sebagainya.

“Makna kata, pengguna di luar sana sama ada pemilik gedung, perniagaan, pemaju perumahan dan Pihak Berkuasa Tempatan, perlu merujuk kepada DBP.

“Ia bukan sahaja untuk menyemak dari segi ejaan tetapi juga konsep penamaan. Misalnya, nama-nama jalan, nama-nama gedung. Alangkah baiknya jika ditulis dalam bahasa Kebangsaan.

“Yang pertama, ia akan memberikan citra Malaysia kepada orang ramai ataupun orang asing. Keduanya, ia menunjukkan Malaysia itu ada bahasa Kebangsaannya sendiri.

“Bermakna, kalau kita pergi ke Korea, China, Jepun, Perancis, Jerman, Rusia dan sebagainya secara tidak langsung akan menonjolkan keperibadian ataupun jati diri negara kita,” katanya.

The post “60 tahun merdeka Bahasa Melayu seperti bahasa kedua” appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian