Amal pendekatan berhikmah dalam dakwah Islam: Raja Muda Perlis

TOKYO, 27 Safar 1439H, Khamis – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar pendakwah mengamalkan pendekatan berhikmah dengan mengenali latar belakang dan budaya golongan sasar supaya dapat menonjolkan keindahan Islam.

Cara sebegini berpotensi menarik lebih ramai orang untuk mendekati dan mengenali Islam terlebih dahulu sebelum memeluk agama ini, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) bertitah demikian pada majlis penyampaian sumbangan sebanyak RM80,000 untuk aktiviti dakwah Masjid Pulau Shikoku dan laman sesawang www.islamjp.com

Imam masjid, Sulaiman Akira Hamanaka, pemilik dan pentadbir laman sesawang yang menjadi laman rujukan mengenai Islam di negara matahari terbit itu menerima berkenaan daripada baginda.

Majlis penyerahan berlangsung di kediaman Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris pada program Liqa’ Mawaddah dan promosi masakan Perlis, turut dihadiri hampir 50 rakyat dan pelajar Malaysia di Tokyo, semalam.

“Beta amat teruja dengan usaha imam Sulaiman mempromosi keindahan Islam di Jepun kerana laman sesawangnya dalam bahasa Jepun yang dikunjungi ramai orang boleh mengubah persepsi negatif orang bukan Islam terhadap Islam khususnya di Jepun,” titah baginda.

Dalam ucapannya pada majlis itu, imam Sulaiman berkata beliau memeluk Islam pada usia 19 tahun semasa bercuti selama sebulan di Kuala Lumpur kira-kira 50 tahun lepas dan menjalankan kegiatan dakwah hampir 40 tahun.

“Masyarakat Jepun belum mengenali Islam. Jumlah mereka tidak ramai namun mereka berfikiran terbuka terhadap Islam,” katanya sambil menambah jumlah masjid di Jepun telah meningkat melebihi 100 buah sekarang berbanding dua buah sahaja pada tahun 1990.

Dalam lawatannya ke Perlis pada Ogos lepas, MAIPs memberi sumbangan awal sebanyak RM20,000 bagi membantu beliau mengembangkan syiar Islam di Jepun. – Bernama

The post Amal pendekatan berhikmah dalam dakwah Islam: Raja Muda Perlis appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian