AS, Russia hantar pesawat pengebom ke sempadan Korea Utara
SEOUL, 12 Safar 1439H, Rabu – Amerika Syarikat (AS) dan Russia dilaporkan menghantar pesawat pengebom ke sempadan Korea Utara, tatkala ketegangan terus memuncak dengan pemimpin negara itu, Kim Jong-un.
Presiden AS, Donald Trump mengarahkan pesawat B-2 Stealth dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri bagi melakukan misi penerbangan jarak jauh ke Pasifik, minggu ini.
Manakala, Kementerian Pertahanan Russia hari ini mengumumkan bahawa jet AS dan Jepun mengiringi pesawat pengangkut peluru berpandu dan pengebom Russia, Tupolev-95MS, ketika penerbangan di ruang udara Laut Jepun dan Pasifik.
Jurucakapnya berkata, dua pesawat Tupolev-95MS melakukan penerbangan rutin di perairan antarabangsa di Laut Jepun dan barat Lautan Pasifik.
“Pada satu tempat krew Tupolev-95MS diiringi oleh dua pesawat F-18 AS dan dua pesawat F-4 dan F2A tentera udara Jepun,” katanya.
Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis pula berkata, ancaman serangan nuklear oleh Korea Utara boleh mempercepatkan tindak balas.
Beliau menuduh Jong-un menjalankan program peluru berpandu dan nuklear secara tidak sah.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Korea Selatan, Song Young-moo memberi amaran Korea Utara telah meningkatkan ancaman terhadap jirannya dan dunia.
Oleh kerana itu, kerjasama antara tentera AS dan Korea Selatan memasuki fasa kecemasan dan penting, katanya. – Agensi
The post AS, Russia hantar pesawat pengebom ke sempadan Korea Utara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan