Bajet 2018: Peningkatan dana pertingkat sumbangan sektor pendidikan tinggi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Safar 1439H, Rabu – Peningkatan Bajet 2018 dalam sektor pendidikan tinggi merupakan satu usaha yang disambut baik warga institusi pengajian tinggi (IPT), kata Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Beliau berkata, peningkatan bajet sebanyak 13.15 peratus, daripada RM12.28 bilion kepada RM13.89 bilion mampu meningkatkan lagi sumbangan sektor itu.

Malah, beliau berkata, lebih mengujakan lagi apabila penambahan dana penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan berjumlah RM400 juta berbanding hanya RM235 juta untuk tahun ini.

Ini kerana, katanya, melalui penyelidikan, universiti dapat membuat penemuan ilmu baharu yang seterusnya meningkatkan kualiti dalam pembelajaran dan pengajaran.

“Hal ini sangat signifikan kerana penyelidikan adalah tunjang dan asas kepada pencapaian dan kecemerlangan sesebuah universiti. Peningkatan dana akan membuka peluang banyak lagi penyelidikan dapat dilakukan dan seterusnya menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

“Galakan untuk memperhebat penyelidikan transnasional yang turut menjadi fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mutakhir ini, memerlukan bajet yang besar bagi menghasilkan penyelidikan yang benar-benar dapat memberi impak kepada masyarakat. Penyelidikan berbentuk jangka panjang ini membabitkan penyelidik daripada semua universiti, selain menggunakan kepakaran pelbagai bidang,” katanya menulis dalam Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman peruntukan RM90 juta untuk program MyBrain15 pula dapat memberi manfaat kepada 10,600 orang rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran berkait rapat dengan kemampuan IPT.

“Program MyBrain15 ini bukan sahaja dapat membongkar potensi dan bakat rakyat Malaysia, tetapi turut memberi manfaat kepada UA dan negara kerana penyelidikan yang dilakukan akan memperkaya khazanah ilmu. Justeru, pelaburan besar negara dalam hal ini tidak harus dipersia-siakan.

“Secara tuntasnya, Bajet 2018 telah buka ruang dan peluang besar kepada universiti memacu kecemerlangan dan seterusnya mengupayakan sektor pendidikan tinggi menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Bajet yang meningkat ini mencabar UA untuk terus cemerlang, dalam arus Revolusi Industri 4.0,” katanya.

The post Bajet 2018: Peningkatan dana pertingkat sumbangan sektor pendidikan tinggi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian