Banjir: Netizen puji surau, masjid terima bukan Islam berlindung

Oleh Che Siti Rekembang Hasbi

BANGI, 17 Safar 1439H, Isnin – Rata-rata pengguna laman sosial, terutama Facebook hari ini memuji tindakan seorang bilal surau yang menjadi tular apabila membenarkan sekumpulan mangsa banjir yang terdiri daripada bukan Islam berlindung di surau Taman Free School.

Bilal surau berkenaan, Sapno Tukijo berusia 50 tahun menumpangkan mangsa banjir keturunan Cina, bertujuan untuk menyelamatkan nyawa mereka daripada banjir yang melanda negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Pemilik akaun Facebook Raizuan Ibrahim meluahkan rasa syukurnya akan tindakan bilal surau tersebut yang membantu kaum lain yang menghadapi musibah.

“Tahniah Tuan Bilal. Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak, Penang juga menjadi pusat penempatan untuk bangsa lain. Alhamdullilah banjir telah menyatupadukan kita,” katanya.

“Alhamdulillah, bilal ini mengambil tindakan yg sangat bijak. Jangan difikir bangsa atau agama yang penting saling membantu beri bantuan setakat mampu. Semoga orang Islam lain menuruti kebaikan Bilal ini. Semoga Bilal dirahmati Allah,” demikian pula kata pemilik akaun Facebook yang hanya dikenali sebagai Abu Burn.

Rentetan tular foto berkenaan di laman sosial, pemilik akaun Facebook bukan beragama Islam turut memuji sikap bilal tersebut.

“Saya percaya ini semua sudah tertulis. Sahabat-sahabat ini dipanggil berteduh dan bilal ini adalah perantara. Ada hikmah di sebalik semua kejadian. I am not Islam tapi saya pencinta Islam,” kata Francis Ngelai dalam akaun Facebook miliknya.

Pemilik akaun Facebook lain iaitu Mary Ng menyifatkan bilal berkenaan mempunyai sifat perikemanusiaan yang suka tolong menolong manusia yang dalam kesusahan.

Sementara itu, menurut bilal surau berkenaan, secara keseluruhan jumlah mangsa yang ditempatkan di surau itu seramai 70 orang terdiri daripada kaum Cina dan India yang tinggal di kampung sekitar Lengkuk P Ramlee yang terjejas teruk akibat banjir.

The post Banjir: Netizen puji surau, masjid terima bukan Islam berlindung appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian