Cabaran mangsa banjir kini bersihkan kediaman


TASEK GELUGOR, 21 Safar 1439H, Jumaat – “Sehelai baju pun kami tidak sempat selamatkan…rumah kami dinaiki air sehingga paras bumbung”.

“Rumah kami dipenuhi lumpur…elektrik pun belum ada”.

Itu antara luahan mangsa banjir selepas pulang ke rumah masing-masing yang ditenggelami air berikutan hujan lebat Sabtu lepas.

Walaupun air banjir kini kian surut dan kebanyakan mangsa yang berlindung di pusat-pusat pemindahan pulang ke kediaman masing-masing, keadaan kini tidak lagi sama seperti sebelum bencana menimpa.

Rumah dipenuhi sampah dan lumpur dibawa air banjir, kebanyakan perabot rosak teruk dan tidak lagi boleh dibaiki, ternakan banyak yang mati, tanaman-tanaman musnah dan segala macam kemusnahan lain dialami mangsa banjir di negeri ini.

Cabaran paling besar mereka kini ialah membersihkan rumah sebelum dapat berpindah semula dan bangkit membina kehidupan baru.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata mangsa banjir di sekitar kawasan Kampung Padang Menora, Jalan Pokok Tampang, Labok Banting dan Kampung Seberang Tok Dol, kini sibuk membersihkan kediaman mereka.

Ahmad Sobri Mohamad, 38, yang bekerja di bengkel penyelenggaraan kereta (juru servis kereta) berkata rumahnya di tepi Sungai Labuk Banting dinaiki air sehingga ke paras dada Ahad lepas, menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Agama Labuh Banting.

“Kami sekeluarga tinggal di pusat pemindahan sejak Ahad dan baru hari ini dapat pulang untuk kemas rumah selepas air mulai surut…tapi sedih tengok kawasan rumah dipenuhi lumpur,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, beliau menghadapi kesukaran untuk membersihkan rumah kerana bekalan elektrik belum disambung sejak Ahad lepas, mungkin disebabkan kerosakan pada ‘transformer’ berhampiran.

“Kami tidak dapat guna “water jet” atau bantuan peralatan elektronik lain untuk bersih rumah dan hanya boleh kutip sampah-sampah tersangkut di celah-celah rumah,” katanya.

Namun, beliau berterima kasih kepada pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya yang membantu kerja-kerja pembersihan rumahnya hari ini.

Sementara itu, seorang warga emas Rohani Abdul Rahman, 63, berkata ketika berlaku banjir, beliau langsung tidak sempat menyelamatkan barang-barang rumah.

“Bila sedar air naik pada awal pagi Ahad, saya hanya sempat lari menyelamat diri bersama cucu Nor Hanis Shafika Abdullah, 13 tahun. Ketika itu, saya tergelincir dan lutut terkena batu sampai berdarah, mujur sempat diselamatkan oleh suami.

“Sehelai baju pun kami tidak sempat selamatkan dan rumah dinaiki air sehingga paras bumbung,” katanya yang kini berteduh bersama suami Abdul Rahim Mohamed di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Padang Menora.

Rohani berkata suaminya telah pulang ke rumah untuk cuba membersihkan rumah mereka yang dipenuhi lumpur dengan bantuan sukarelawan, dan pastinya banyak barang terutama peralatan elektrik musnah sepenuhnya.

Asmah Hashim pula berkata, banjir kali ini merupakan yang terburuk sejak 2003 dan rumahnya di Kampung Padang Menora mula dimasuki air kira-kira 2 pagi Ahad.

“Menjelang 7 pagi, air sudah mencecah paras dada menyebabkan saya dan suami, Lan Hassan mengambil keputusan untuk berpindah kerana keadaan berbahaya disebabkan arus deras,” katanya.

Surirumah itu berkata sehingga hari ini, dia masih fobia apabila melihat awan mendung dan kerja-kerja pembersihan rumahnya masih tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya. – Bernama

The post Cabaran mangsa banjir kini bersihkan kediaman appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian