Ceburi bidang sains fardu kifayah: Ikim
KUALA LUMPUR, 12 safar 1439H, Rabu – Masyarakat digalakkan menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan satu fardu kifayah penting untuk pembangunan negara.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin berkata, segala aspek kehidupan manusia amat berkait rapat dengan STEM. Namun, beliau mendapati tradisi pendidikan agama Islam negara kurang memberi penekanan terhadap kepentingan itu.
“Ilmu sains kini seakan-akan ilmu yang terasing sedangkan perkembangan sains moden hari ini dicetuskan daripada prinsip-prinsip dalam al-Quran dan hadis,” katanya selepas menyampaikan ucapan aluan Muzakarah Pakar bertemakan ‘Pengukuhan Pendidikan STEM : Pendekatan Nilai dan Budaya’ anjuran IKIM dan Penggerak STEM Kebangsaan di institut itu, di sini, hari ini.
Beliau memberi contoh beberapa tokoh ilmuwan Islam terkenal seperti Ibnu Sina yang menguasai pelbagai cabang ilmu sains termasuk menghasilkan buku perubatan berpengaruh di Eropah, dan Ibnu al-Haitham pula merupakan pakar fizik yang memberi sumbangan besar dalam bidang optik dan penghasilan kanta.
“Cara kehidupan masyarakat beragama Islam adalah berkait rapat dengan sains, misalnya, penetapan masa untuk melaksanakan kewajipan solat, puasa dan haji menggunakan ilmu falak iaitu sains astronomi,” katanya. – Bernama
The post Ceburi bidang sains fardu kifayah: Ikim appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan