Daesh tidak perlu pangkalan untuk rekrut anggota

IPOH, 1 Rabiulawal 1439H, Isnin – Tidak perlu pangkalan, ancaman militan Daesh masih rancak tersebar menerusi media sosial untuk menyebarkan ideologi dan merekrut rakyat negara ini, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, ancaman keganasan di negara ini masih serius walaupun Daesh kehilangan pusat pemerintahan di Raqqa, Syria, namun pengaruh Internet masih meluas, sebagai contoh penangkapan tiga anggota Daesh di Kelantan baru-baru ini.

“Walaupun konsep wilayah khalifah itu sudah tiada, tetapi Daesh kini mengeksploitasi media sosial untuk merekrut, menyebarkan ideologi dan menghasut anggota baharu supaya melancarkan serangan di negara masing-masing.

“Seperti tangkapan baru-baru ini di Kelantan, suspek tersebut tidak pernah bersemuka atau menghubungi tetapi sekadar melalui Internet, terpengaruh dengan ideologi Daesh kemudian belajar membuat bom melalui laman sesawang Daesh.

“Ideologi Daesh ini makin rancak tanpa perlu ke Syria dan tanpa perlu merekrut orang secara fizikal lagi. Kita bimbang sebab kalau gagal memperoleh risikan, sudah tentu kita tidak dapat mengesan dan menggagalkan rancangan serangan Daesh,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia ke-4 (WCIT 2017) di sini hari ini.

Persidangan dua hari mulai hari ini bertemakan ‘Keamanan Global’ dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah, dengan dihadiri peserta dari lebih 15 negara.

Dalam satu sidang media pada 17 Oktober lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis telah menahan tiga lelaki termasuk pelajar sekolah tingkatan enam di sebuah restoran di Pasir Puteh, Kelantan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan.

Ketiga-tiga mereka ditahan pada 8.17 malam 10 Oktober lepas oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dan disyaki terlibat dalam merancang melakukan serangan di Better Beer Festival 2017, pusat hiburan dan rumah ibadat di sekitar Lembah Klang menggunakan ‘Improvised Explosive Device’ (IED) yang dihasilkan sendiri.

Mohamad Fuzi berkata semua yang ditahan dipercayai menguji IED berkenaan di sebuah kawasan lapang pada 28 September lepas dan siasatan mendapati bahan letupan berkenaan mempunyai kesan sehingga 30 meter.

Sehubungan itu, Ayob Khan berkata, WCIT 2017 yang diadakan selama dua hari ini akan memberi pencerahan kepada masyarakat dari segi pendekatan yang perlu diambil untuk menangani isu keganasan yang semakin membimbangkan.

Selain itu, Ayob Khan berkata, negara sekarang sedang berperang dengan ideologi bukannya berperang dengan fizikal dan sekiranya isu ideologi Salafi Jihadi yang dipegang Daesh gagal ditangani, dibimbangi lebih ramai akan terpengaruh.

“Memang polis boleh tangkap dan tuduh suspek di mahkamah tapi isu pokoknya adalah bagaimana kita hendak menangani penyebaran ideologi Salafi Jihadi Daesh dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut menceritakan bahawa beliau pernah menerima ancaman bunuh daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 27, iaitu anggota militan Daesh yang maut dalam serangan dron di Syria pada Mei lepas.

Katanya, ancaman terbaru yang diterima adalah sewaktu bulan puasa lepas sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
“Anggota Daesh di Indonesia yang menghasut anggota Daesh di Malaysia dan Indonesia untuk bunuh saya.

“Mengikut mereka, polis ini (Ayob Khan) yang banyak membuat tangkapan terhadap anggota-anggota Daesh di Malaysia,” katanya sambil menyifatkan ancaman Daesh adalah sebahagian daripada cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai polis.- Bernama

The post Daesh tidak perlu pangkalan untuk rekrut anggota appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian