ismakualaterengganu

Dialog antara agama – Di mana kita? (Bahagian II): Kebenaran yang tak mampu diketengah agama lain

BUKU komik ‘Mencari Kebenaran: Satu Dialog Islam-Kristian’ bagi saya adalah salah satu permata penerbitan rantau ini. Teringat sewaktu ke...

BUKU komik ‘Mencari Kebenaran: Satu Dialog Islam-Kristian’ bagi saya adalah salah satu permata penerbitan rantau ini. Teringat sewaktu kecil abah membelikan buku ilmiah yang berbentuk komik ini untuk kami. Mungkin buku ini secara tak langsung mencetuskan minat saya dalam disiplin ilmu perbandingan agama.

Walaupun, berbentuk komik dengan lukisan kartun, ia penuh dengan mesej dan perbahasan yang agak berat membuatkan ianya sesuai untuk golongan dewasa.

Tema utama dalam buku tersebut ialah menjelaskan kebenaran yang dipersembahkan dengan cukup baik. Premisnya mudah – seorang pemuda Kristian berdialog dengan seorang ‘lebai’ di rumahnya selama beberapa puluh hari.

Dialognya berkisar tentang soal ketuhanan, kenabian, keabsahan al-Kitab (Bible) dan pelbagai isu perbandingan Islam-Kristian. Sang pemuda mengemukakan pelbagai soalan yang mencabar dan provokatif. Pak Lebai pula dengan tenang menjawab segala persoalan.

Inilah situasi yang saya maksudkan dengan ‘gear kedua’ dalam dialog antara agama. Rata-rata dialog antara agama hari ini masih dalam gear pertama. Kita hari ini masih dalam fasa mencari titik persefahaman antara agama. Namun, dialog bukan semata-mata untuk mencari ‘common ground’ tetapi untuk mencari kebenaran.

Mencari titik persefahaman amat penting dalam citra dialog, tetapi ianya perlu dilihat sebagai platform dan strategi untuk menyampaikan kebenaran. Mencari titik persamaan adalah gerak kerja konstruktif yang amat penting untuk membina hubungan dan kepercayaan.

Hubungan dan kepercayaan seterusnya akan mewujudkan suasana harmoni dan selesa. Namun, ia tidak boleh berhenti setakat itu sahaja. Seterusnya pendekatan destruktif pula perlu diketengahkan; dalam suasana harmoni dan santun; untuk mematahkan hujah batil dan membentangkan hujah kebenaran.

Kebenaran adalah teras utama Islam. Kasih sayang adalah teras kedua. Kristian seringkali mempromosikan kasih sayang sebagai teras utama mereka. Spread the love. Jesus loves you. Itulah yang seringkali diketengahkan.

Islam juga adalah kasih sayang. Namun kita punya teras yang lebih besar iaitu kebenaran. Kebenaran adalah perkara yang tidak mampu agama Kristian mahupun agama-agama lain ketengahkan. Inilah yang membezakan Islam dengan agama lain. Teras ini perlu benar-benar diimani oleh kita.

Kita perlu percaya kebenaran itu bersifat ekslusif. Berpegang dengan inklusivisme kebenaran hanya akan membuka pintu pluralisme agama.

Benar ia bukan benda mudah. Tidak mudah untuk bercerita dengan rakan-rakan non-muslim tentang Islam. Apa lagi berhujah dengan mereka. Kita mungkin merasa serba salah dan risau mereka berkecil hati.

Kita mungkin fikir kita perlu menjaga perasaan mereka untuk melestarikan keharmonian yang dikecapi. Kita berpegang dengan ‘La ikraha fi al-din’. Islam tidak boleh dipaksa, kata kita. Inilah kelemahan kita sebenarnya, termasuklah diri yang menulis.

Tanpa sedar kita bersifat selektif dalam nas. Mengapa kita berhenti setakat itu dan lupa dengan ayat selepasnya? Allah menjelaskan ‘Qad tabayyan al-rusyd min al-ghayy’ yakni telah jelas petunjuk dengan kesesatan.

Siapa yang perlu menjelaskan petunjuk itu kepada mereka kalau bukan kita?

Hanya selepas itu barulah ‘Lakum deenukum wa liya deen’. Bukannya menggunakan ayat tersebut pada permulaan proses! Inilah antara kecelaruan umat hari ini.

——————————-

Mungkin ini ialah akibat kelekaan dan kegagalan kita nanti selama ini. Perjalanan masih panjang. Semoga Allah mengampunkan kita dan memberi kita semua kekuatan.

Ustaz Adam Badhrulhisham
Pensyarah Usuluddin
Kolej Univ Islam Melaka

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net.

The post Dialog antara agama – Di mana kita? (Bahagian II): Kebenaran yang tak mampu diketengah agama lain appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 4107122541890780176

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item