ismakualaterengganu

Isu larang bertudung: Jangan biar umat Islam ditindas pihak asing

Oleh Athirah Huda Zalhe BANGI, 9 Rabiulawal 1439H, Selasa – Kerajaan digesa supaya lebih serius menyelesaikan isu larangan bertudung pek...

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 9 Rabiulawal 1439H, Selasa – Kerajaan digesa supaya lebih serius menyelesaikan isu larangan bertudung pekerja wanita di sektor perhotelan supaya polisi dan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan tidak terus menindas orang Islam di negara ini.

Pengerusi Kluster Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Rushdan Abdul Halim berkata, isu sebegini perlu diberi tumpuan serius apabila kumpulan majoriti di Malaysia ditindas dan didiskriminasi oleh pihak asing.

Jelas beliau, isu diskriminasi kerap kali berlaku terhadap golongan minoriti, namun berbeza dengan Malaysia, kumpulan majoriti pula yang ditindas.

“Kita menuntut kerajaan menghapuskan polisi seperti ini dilaksanakan di Malaysia, tidak kira di hotel mewah bertaraf antarabangsa.

“Sekalipun ianya adalah polisi antarabangsa, pengusaha hotel sepatutnya memadankan SOP mereka bersesuaian dengan Perlembagaan yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berkenaan lebih 20 buah hotel mewah bertaraf lima dan enam bintang yang dikenalpasti melaksana polisi larangan bertudung itu.

Isu larangan bertudung terhadap pekerja kaunter depan hotel pernah didedahkan oleh UNI-MLC sebelum ini, selepas menerima aduan berhubung tindakan diskriminasi tersebut.

Ia turut menerima respon daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar dan prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini meminta MAH membuktikan polisi antarabangsa mana yang mereka ikuti, kerana difahamkan SOP seperti itu tiada diamalkan di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut berhubung isu itu, Ustaz Rushdan berkata, sekiranya benar tiada polisi seperti itu diamalkan sebagaimana dinyata oleh Mas Emiryati, ia bermakna wujud agenda tersembunyi pihak tertentu untuk mendiskriminasi orang Islam di negara ini.

“Kalau benar tiada kaitan dengan SOP antarabangsa, kita tak menolak kemungkinan wujud perancangan dalaman secara senyap untuk mendiskriminasikan orang Islam.

“Mereka tidak sepatutnya menjalankan perniagaan dalam negara Islam dengan membawa masuk polisi yang bercanggah serta bertentangan Perlembagaan Malaysia,” katanya.

The post Isu larang bertudung: Jangan biar umat Islam ditindas pihak asing appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 3041636141539835914

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item