Isu larangan bertudung: Mana puak feminis, kenapa berdiam?

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 25 Safar 1439H, Selasa – Menjadikan hujah polisi antarabangsa untuk menghalang pemakaian tudung adalah berlawanan dengan prosedur standard syarikat-syarikat gergasi yang beroperasi di seluruh pelusuk dunia, kata Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Ketua Pemudanya, Muhammad Farid Hussein berkata, dalam setiap polisi atau SOP syarikat, satu perkara asas yang mesti diikuti ialah kewajipan untuk patuh terhadap undang-undang tempatan dalam setiap operasi mereka.

“Justeru, alasan yang diberikan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menunjukkan dua perkara: samada hotel-hotel yang melaksanakan larangan pekerja wanita berudung ini tidak mempunyai standard (sub standard) seperti syarikat-syarikat antarabangsa yang lain.

“Atau hotel-hotel ini sendiri telah melanggar polisi mereka sendiri, iaitu untuk patuh dan hormat pada undang-undang tempatan?,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, MAH dalam satu kenyataan mempertahankan tindakan industri perhotelan negara yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan, sambil menegaskan ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee berkata, setiap hotel, terutama hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

Mengulas lanjut Farid berkata, tidak dinafikan ramai pihak yang tidak bersetuju dan membantah larangan ini, termasuk daripada kalangan ahli Parlimen.

“Tetapi satu trend yang sama berlaku, yang mana pihak feminis dan badan-badan yang kononnya memperjuangkan hak asasi wanita senyap sunyi dan langsung tidak mengecam tindakan sesetengah hotel dan juga alasan bodoh pihak MAH.

“Adakah hak asasi wanita hanya relevan bila mana ia berkaitan dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam?

“Apakah pegangan sebenar badan-badan wanita Islam yang lantang memperjuangkan hak asasi wanita, tetapi bisu dalam perkara yang melibatkan hak wanita islam, adakah al-Quran dan sunnah atau kitab lain?,” katanya lagi.

Justeru Farid berkata, Pemuda Isma menyeru pihak kerajaan dan badan berautoriti supaya bersikap jantan dalam mempertahan hak dan perkara yang melibatkan Islam, Agama Persekutuan Malaysia, termasuk hak wanita Islam untuk hidup bersyariat di negara ini.

Katanya, sebelum ini ada segelintir pihak dengan pantas mencemuh tindakan yang kelihatan seperti mendiskriminasi masyarakat bukan Islam, seperti kedai dobi ‘Mesra Muslim’.

“Tetapi kenapa tindakan pantas ini jarang berlaku dalam isu yang melibatkan kepentingan agama Islam? Adilkah apabila orang Melayu Islam, penduduk asal negara ini, dilayan seperti penduduk kelas kedua di tanah air sendiri?,” katanya.

The post Isu larangan bertudung: Mana puak feminis, kenapa berdiam? appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian