Jangan Hantar Anak ke SJKC!

Saya yakin sebab utama ibubapa Melayu memasukkan anak ke SJKC kerana inginkan anak mereka boleh bertutur dalam Bahasa Mandarin atau sekolah itu paling hampir dengan rumah mereka.

Jangan hantar anak ke SJKC jika anda tidak bersedia. Apa persediaannya?

1. Jelaskan kepada anak anda apakah tujuan anda menghantar mereka.

Anak sulung saya, Faqihuddin pernah menangis semasa berumur 6 tahun ketika pra-sekolah SJKC kerana tidak dapat menjawab soalan peperiksaan Bahasa Cina, manakala anak kedua saya pernah mempertikaikan “Kenapa Abah hantar Saifullah ke sekolah Cina? Saifullah tak nak”. Oleh itu, ibubapa jangan ‘remote’ anak sesuka hati tanpa memahami perasaan anak. Hantarkan sahaja anak ke SK jika anda mahu mereka lebih berjaya.

2. Siapkan ilmu agama sebaiknya, bukan harapkan ustazah di SJKC

Kalau di SK, sebelum masuk tandas dan sebelum makan di kantin, setidaknya ada doa ditulis sebagai peringatan untuk pelajar muslim. Suasana dan persekitaran di SK tidak sama dengan SJKC. Saya biasa menemani anak saya makan bekal yang dibawa dari rumah di kantin sekolah ketika waktu rehat. Sambil makan sambil dengar lagu cina didendangkan.

Itu mungkin budaya mereka, saya hormati kerana SJKC suka kepada nyanyian dan tarian sebagai aktiviti sekolah. Cikgu dan pelajar biasanya dengan pakaian skirt pendek, berbeza dengan SK yang lebih nampak sopan dengan baju kurung. Nampak atau tidak perbezaan suasana tersebut?

3. Bahasa dan Komunikasi

Isu ini saya perlu ulas lebih mendalam. Harap pembaca bersabar dan terus membaca.

Tidak ada komunikasi rasmi di antara pelajar dan guru menggunakan bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu) dalam perhimpunan pagi dan majlis-majlis rasmi. Proses pembelajaran Bahasa Melayu di dalam kelas pun masih diterjemahkan ke dalam bahasa mandarin.

Maka, wajarlah orang cina di SJKC sukar berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik dan orang Melayu boleh berbahasa mandarin kerana suasana ini.

Apabila saya membaca titah Sultan Perak yang meminta agar sekolah vernakular ini memastikan pelajarnya menguasai Bahasa Melayu, gesaan NGO dan wakil rakyat meminta supaya kerajaan atasi segera masalah Bahasa Melayu di SJKC, saya jadi gelisah. Saya hanya terfikir bahawa semua gesaan ini tidak akan berjaya jika pelajar itu sendiri yang tidak berminat atau bersungguh-sungguh untuk menguasainya.

Kerap kali di SJKC, saya suka berbual dengan pelajar cina dalam bahasa Melayu. Respon pelajar berbangsa cina ini kebiasaanya adalah kelihatan muka yang ‘blur’ seketika apabila saya bercakap dengan mereka. Biasanya mereka akan senyap atau memanggil kawan lain untuk menterjemahkan perbualan saya dalam Bahasa Melayu kepada Bahasa Mandarin. Ada juga yang terus melarikan diri tidak mahu berbual. Sungguh mencuit hati, kadang-kadang saya meminta anak saya yang terjemahkan jika mampu. Jika tidak, kami akan sama-sama buntu kerana saling tidak memahami apa yang dibualkan.

Pada sisi yang berbeza, saya melihat pelajar Melayu akan berusaha untuk faham dan berkomunikasi dalam bahasa cina kerana mereka tahu jika mereka tidak menguasainya, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran.

Apabila anak saya mendapat semua semua A dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini, saya dipuji oleh semua guru yang saya kenal bila berjumpa. Ironinya, pelajar Melayu pasti ketinggalan ketika darjah 1 kerana masalah bahasa. Kata mereka anak saya pandai dan pandai awak ajar anak. Guru besar menyangka saya dan isteri boleh berbahasa cina, sedangkan tidak.

Sebenarnya, Isteri saya yang bersungguh-sungguh mengajar anak menggunakan ‘google translate’, membuat tekaan soalan dan melihat contoh soalan peperiksaan SJKC di internet. Saya hanya membantu sekadar termampu dan kebiasanya saya akan menyerah awal terutama pada subjek Sains dan Bahasa Cina supaya saya sendiri tidak tertekan kerana tidak faham.

Baru-baru ini, ketika hari keputusan UPSR diumumkan, saya berbual dengan guru besar sekolah anak saya. Beliau biasanya akan mencadangkan pelajar Melayu yang masih lemah dalam bahasa cina pada tahap 2 untuk ke SK demi masa hadapan mereka. Ya, saya akui kata guru besar tersebut.

Kalau ibubapa Melayu sendiri tidak mampu membantu pembelajaran bahasa cina anaknya, saya cadangkan terus sahaja hantar ke SK bermula darjah 1 lagi, tidak perlu buang masa untuk jadikan anak bahan eksperimen.

Tidak lupa juga untuk saya cadangkan kepada ibubapa Cina yang mahu anaknya menguasai bahasa Melayu, hantar sahaja anak ke SK. Kerajaan pun tidak perlu fikirkan perkara yang mustahil untuk diselesaikan.

Kesimpulannya, jangan hantar anak ke SJKC jika…

 

Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak
Bapa yang baru mengenal SJKC

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian