Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat

KOTA BHARU, 8 Rabiulawal 1439H, Isnin – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri ini meningkat kepada 317 orang daripada 89 keluarga setakat 9.30 malam tadi berbanding 157 mangsa daripada 36 keluarga pada jam 6.30 petang semalam.

Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa jajahan di Kelantan mula dilanda banjir.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di jajahan Kota Bharu, sebanyak 98 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kok Lanas (77 mangsa) dan Dewan Orang Ramai Pasar Melor (21 mangsa) di sini.

Sementara itu, di Pasir Mas terdapat 50 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di Madrasah Haji Daud manakala di Tanah Merah, 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kelewek, Bukit Panau.

Di Pasir Puteh, 152 mangsa daripada 49 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu sekolah Kebangsaan Kamil 1 (32 mangsa), Sekolah Kebangsaan Changgai (96 mangsa) dan Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja (24 mangsa).

Sehingga kini, hujan renyai dilaporkan masih turun di seluruh negeri ini.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan paras air di kesemua sungai utama di negeri ini masih di paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat kepada 8.13 meter (bahaya 9 meter) pada pukul 9 malam ini berbanding 7.76 meter petang semalam.

Setakat ini, kesemua jalan utama masuk dan keluar dari negeri ini boleh dilalui semua kenderaan.

Sementara itu, UMNO Bahagian Pasir Puteh menubuhkan skuad sukarelawan banjir yang disertai lebih 400 anggota parti itu untuk membantu memindah dan menyediakan makanan kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen Pasir Puteh.

Bapa Angkat UMNO bahagian itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata skuad berkenaan disertai penjawat awam, badan bukan kerajaan dan individu yang prihatin dengan nasib mangsa banjir.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata pihaknya berpuas hati dengan skuad terbabit yang bersiap sedia lebih awal untuk membantu mangsa banjir termasuk menyediakan tempat tinggal dan bekalan makanan yang mencukupi. – Bernama

The post Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian