Kaedah IMAMS elak pengendali umrah tipu jemaah

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1439H, Isnin – Kaedah Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) yang kini sedang dirangka, dijangka dapat digunakan untuk memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah dan ziarah daripada menipu para jemaah.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata menerusi kaedah itu, tiada alasan boleh diberikan pengendali pakej untuk mengabaikan para jemaah kerana IMAMS telah diselaraskan dengan jaminan jemaah telah memiliki visa, tiket penerbangan pergi dan balik serta penempatan di Tanah Suci.

“Masalah kelewatan visa adalah sebab yang sering dimaklumkan oleh pengendali pakej apabila berlaku situasi jemaah terkandas.

Menerusi IMAMS, pemantauan komprehensif mampu dibuat dan bakal jemaah ke Tanah Suci akan dilindungi sepenuhnya daripada menjadi mangsa ketamakan pengendali pakej berkenaan,” katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan mengkaji dan mengambil kira pelbagai aspek menerusi IMAMS supaya masalah penipuan dan manipulasi pakej umrah ditangani dengan lebih telus.

“Kementerian telah menguruskan banyak kes penipuan umrah sebelum ini melibatkan sama ada mereka terkandas tidak dapat berlepas atau tidak dapat pulang ke Malaysia.

“Apabila IMAMS dilaksanakan nanti, ia mampu melindungi bakal jemaah daripada diperdaya agensi pelancongan ini, malah, bukan sahaja kita boleh tarik balik lesen sebagai agensi pelancongan, tapi kalau didapati ada elemen penipuan mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, IMAMS melibatkan cadangan caj bayaran yang akan dikenakan kepada syarikat pengendali pakej yang bertanggungjawab ke atas pengurusan jemaah dan caj itu sepatutnya ditanggung syarikat pengendali.

Katanya, cadangan caj sebanyak RM90.10 itu melibatkan elemen utama iaitu insurans takaful umrah untuk perlindungan komprehensif kepada jemaah mengikut garis panduan yang ditetapkan kementerian.

“Caj itu merangkumi RM40 untuk perlindungan insurans takaful yang meliputi kemalangan diri termasuk khairat kematian, sebarang kesulitan perjalanan, perubatan, pemindahan kecemasan dan bayaran balik deposit tiket disebabkan penutupan agensi pelancongan berkenaan.

“Manakala RM45 merupakan caj pentadbiran, penyelenggaraan operasi dan sistem yang dilaksanakan oleh syarikat IMAMS yang di bawah pemantauan oleh kerajaan serta RM5.10 ialah caj Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya. – Bernama

The post Kaedah IMAMS elak pengendali umrah tipu jemaah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian