Kata Pedang: Sultan Johor, Mufti Ismail Menk dan Ustaz Haslin

(Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana)

ADA rakan Pedang tanya, kenapa Pedang diam, tak bersuara, tak menulis mengenai isu pengharaman ulama dan ustaz daripada memberi ceramah di Singapura dan Johor oleh pihak berkuasa agama Islam masing-masing.

“Pedang sokong ke? Ini berkaitan Islam”. Tanya rakan Pedang lagi.

Persoalan yang rakan Pedang bangkitkan itu berikutan langkah Singapura yang mengharamkan ulama terkenal yang juga Mufti Zimbabwe, Sheikh Ismail Menk, dan penceramah bebas Malaysia, Ustaz Haslin Baharim yang lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Bollywood’, memberi ceramah di negara itu.

Ia disusuli perintah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor, supaya mengambil tindakan yang sama ke atas kedua-duanya.

Pedang jawab “itu hak pihak berkuasa agama Islam di Singapura dan Johor. Mereka ada alasan sendiri. Biasalah! Ada pihak menyokong ada pihak membantah”.

Sokong atau tidak, itu hak Pedang. Tetapi, Pedang berpendapat Sultan Johor melihat sesuatu yang lebih besar dan memberi pendapat baginda. Dalam hal ini, baginda bimbang berlaku perpecahan di kalangan umat Islam dan masyarakat pelbagai kaum.

Itu hak baginda sebagai Ketua Agama Islam di Johor.

Bukan sahaja Johor yang mengambil langkah demikian dan bukan Sheikh Ismail Menk serta Ustaz Haslin sahaja yang dilarang. Ada juga Jabatan Agama Islam lain yang mengharamkan ustaz tertentu berceramah atau memberi kuliah agama di negeri mereka.

Contohnya, Selangor yang menarik balik tauliah seorang ustaz kontroversi dan tidak membenarkannya memberi kuliah agama di negeri itu. Ada juga negeri yang melarang mufti negeri lain memberi kuliah agama di negeri mereka.

Perkara ini tidak menghairankan. Cuma diperbesar-besarkan pihak tertentu, khususnya orang kafir dan munafik, supaya kelihatan semua masalah yang timbul adalah disebabkan Islam. Sedangkan Islam tidak sedemikian. Islam ini agama yang lengkap lagi sempurna.

Kerana lengkap dan sempurna, maka orang kafir cemburu. Ditambah pula sikap sesetengah orang Islam itu sendiri yang terlalu keras, liberal, sekular, menyimpang daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Mengambil sebahagian isi al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Mengambil al-Quran meninggalkan hadis. Lalu mudahlah ‘jarum’ dimasukkan oleh musuh untuk memburuk-burukkan Islam.

Jadi, jangan kita bertepuk tangan apabila ada ustaz atau ulama dilarang berceramah di Johor atau negeri lain, atau jangan kita mempertikaikan larangan bersebab itu. Ramai lagi ustaz-ustaz dan ulama yang dibenar berceramah di Johor atau di Selangor.

Pedang kata lagi:

Di Malaysia, sultan adalah ketua agama Islam negeri masing-masing. Mereka mempunyai penasihat yang terdiri daripada bijak pandai agama. Ketua agama Islam ini adalah khalifah, jika menurut sistem pemerintahan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Umat Islam yang berkeluarga pun adalah khalifah bagi keluarganya. Tanggungjawab sebagai khalifah, apa lagi jika membabitkan sebuah negeri atau negara amat besar dan berat.

Allah berfirman yang bermaksud:

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.” (Sad ayat 26)

Dan, sultan sebagai khalifah yang telah diamanahkan oleh Allah SWT wajib membuat keputusan terhadap sesuatu permasalahan berkaitan agama Islam. Mereka boleh meminta pandangan ulama atau pakar agama dalam bidang tertentu sebelum membuat keputusan.

Seperkara lagi, jangan kita alihkan isu pengharaman memberi ceramah itu dengan menuduh perbuatan-perbuatan haram yang lain dibiarkan. Memang ada amal maaruf nahi mungkar, tapi jangan kita buat demonstrasi depan kelab malam, kilang arak, pub dan lain-lain.

Jika sudah tahu benda haram maka kita kena peringatkan anak-anak muda Islam jangan lakukan perbuatan haram. Kelab malam, arak, pub itu semua untuk orang kafir. Kenapa orang Islam nak masuk.

Pedang percaya Jabatan Agama Islam juga memantau kegiatan umat Islam di tempat-tempat yang dilarang itu. Pedang pernah juga menyertai operasi pemeriksaan di kelab malam dan pub bersama polis dan pihak berkuasa agama Islam. Jika ada umat Islam yang melakukan perbuatan haram, contohnya minum arak, mereka akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Terakhirnya, Pedang petik ayat 49 surah Al-Maidah untuk dihayati bersama yang bermaksud:

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Kata Pedang: Jalan mana yang hendak diikut terserah kepada kebijaksanaan masing-masing membuat pertimbangan dan memilih. Namun, umat Islam mesti bersatu atas nama Islam. Melayu, tidak kira di Johor, Kedah, Kelantan atau Perlis, mesti bersatu atas nama Islam.

The post Kata Pedang: Sultan Johor, Mufti Ismail Menk dan Ustaz Haslin appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian