Kelonggaran guna bahasa lain beri ruang setengah pihak remeh bahasa Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Safar 1439H, Khamis – Meskipun Fasa 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, namun kelonggaran penggunaan bahasa lain memberi ruang kepada segelintir pihak untuk meremehkan kedudukan bahasa ibunda itu.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, tiada alasan untuk setiap rakyat di negara ini tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, sedangkan bangsa asing mampu menguasainya dengan baik walaupun hanya tinggal di Malaysia beberapa tahun.

Akui kecewa dengan perkara itu, beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia merupakan satu-satunya negara, di mana rakyatnya tidak fasih berbahasa kebangsaan.

Malah katanya, pendedahan beberapa pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, terhadap kelemahan sebahagian rakyat Malaysia dalam penguasaan bahasa kebangsaan amat mendukacitakan.

“Mana sifat kebangsaan mereka? Mana perasaan cinta kepada negara kalau bahasanya sendiri tidak diendahkan? Mana mungkin akan capai perpaduan kalau semua menggunakan bahasa kaum masing-masing?

“Selepas 60 tahun negara merdeka, rakyat di negara ini masih rasa kagum dan selesa dengan bahasa Inggeris,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Jelas beliau, meskipun ianya tidak salah malah lebih digalakkan untuk mempelajari bahasa asing, tetapi bukan dengan mengenepikan bahasa kebangsaan.

“Secara tidak langsung ia membuatkan minda rakyat masih terbelengu dengan minda penjajah. Kini sudah sampai masanya, jika kerajaan benar-benar serius untuk mencapai perpaduan nasional, maka isu bahasa Melayu perlu di berikan penekanan yang sewajarnya.

“Bukan saja sebagai bahasa dalam urusan rasmi, tetapi dalam semua media utama termasuk bidang-bidang profesional seperti perundangan.

“Jika perkara ini dibiarkan maka tidak mustahil satu hari nanti penggunaan bahasa Melayu bukan lagi tidak diamalkan, malah dianggap hina dan rendah tarafnya,” katanya.

Selasa lalu, Ahmad Zahid menyarankan sektor korporat supaya memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka dan tidak hanya meletakkan peranan itu kepada sekolah, institusi pengajian tinggi dan sektor awam semata-mata.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon semalam memaklumkan bahawa kerajaan tidak bercadang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi dan surat menyurat syarikat swasta.

Menurutnya, ia memandangkan sebahagian urusan yang dilakukan oleh syarikat perniagaan swasta adakalanya membabitkan pihak dari luar negara.

“Jadi, kalau nak menyelaraskan di peringkat swasta, saya kira ia tidak begitu realistik tapi di peringkat kerajaan memang kita lakukan,” katanya dalam sesi soal jawab di Parlimen, semalam.

The post Kelonggaran guna bahasa lain beri ruang setengah pihak remeh bahasa Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian