Kerajaan sasar lahirkan 125,000 tahfiz profesional pada 2050

KUALA LUMPUR, 25 Safar 1439H, Selasa – Kerajaan sedang merangka empat model kurikulum melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang bertujuan menjamin masa depan dan hala tuju pelajar tahfiz, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata empat model itu merangkumi Tahfiz Turath iaitu pengajian tahfiz al-Quran bersama kitab Turath; Tahfiz Sains (pengajian tahfiz al-Quran bersama mata pelajaran Sains); Tahfiz Dini (pengajian tahfiz al-Quran bersama mata pelajaran agama Islam) dan Tahfiz Kemahiran (pengajian tahfiz al-Quran bersama modul kemahiran).

“Melalui dasar Pendidikan Tahfiz Negara, seiring dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), sasaran yang digariskan adalah melahirkan 125,000 huffaz yang bukan sahaja menghafal al-Quran tetapi juga mempunyai kemahiran dalam disiplin dan bidang ilmu profesional iaitu generasi Ulul Albab,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) mengenai sistem pembelajaran sekolah tahfiz di negara ini.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata terdapat lima komponen bagi mencapai hasrat melahirkan 125,000 generasi mahir al-Quran dan berkemahiran tinggi termasuk kurikulum bersepadu tahfiz untuk dilaksanakan di 11 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), empat (Sekolah Berasrama Penuh) dan 16 (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan).

Selain itu, beliau berkata Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab yang telah beroperasi sejak 2009 telah melahirkan 1,164 huffaz iaitu pelajar yang menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keupayaan menghafal al-Quran.

Menurutnya, lima lagi MRSM Ulul Albab sedang dalam pembinaan iaitu di Semporna (Sabah), Sik (Kedah), Ketereh (Kelantan), Bera (Pahang) dan Bagan Datuk di Perak.

Asyraf Wajdi berkata, komponen lain meliputi pelaksanaan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang ditubuhkan sejak 1966 dan sehingga kini telah melahirkan 7,030 graduan huffaz yang menceburi bidang profesional.

Selain itu, 21 sekolah tahfiz telah ditubuhkan di bawah kerajaan negeri dengan bilangan pelajar setakat ini adalah 4,506, selain 608 sekolah tahfiz persendirian yang telah berdaftar.

Beliau berkata, persidangan Majlis Raja-Raja ke-247 juga telah mengambil maklum berkenaan pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang antara lain bertujuan meningkatkan kualiti pengajian tahfiz dan dalam masa sama agar ia tidak terpisah daripada pengajian arus perdana. – Bernama

The post Kerajaan sasar lahirkan 125,000 tahfiz profesional pada 2050 appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian