KETIDAKJUJURAN YANG MEMBINASAKAN

Permusafiran di salah satu pulau di Indonesia membawa kami ke Masjid Jabal Arafah untuk menunaikan Solat Jumaat di sana. Gambar menunjukkan khatib sedang bersemangat menyampaikan khutbah dengan spontan tanpa bantuan teks ucapan.

 

“Berapa ramai wali kota dan ketua daerah kita pada hari ini yang di tangkap kerana isu korupsi?! Ini baru di peringkat daerah, belum di peringkat yang lebih besar lagi!”

Itulah antara kata-kata yang telah disampaikan oleh khatib Masjid Jabal Arafah, salah satu masjid di kepulauan Indonesia pada hari Jumaat yang lalu. Ternyata setiap ungkapan, setiap  kata-kata dan setiap idea yang disampaikan masih terpahat kemas dalam sanubari ini.

“Ternyata bangsa kita, umat kita telah rosak akibat korupsi dan tiada kejujuran dalam diri.” tegas beliau lagi.

Sepanjang khutbah beliau, bukanlah isu korupsi yang beliau bangkitkan sebagai topik utama. Tetapi lebih kepada pokok pangkal utama berlakunya korupsi itu sendiri. Beliau menegaskan bahawa korupsi itu tidak akan berlaku jika setiap insan berlaku jujur dalam setiap perkara yang dilakukan.

Mengapa kita tidak berlaku jujur? Bukankah Al-Quran, kitab suci umat Islam telah mengajarkan nilai kejujuran kepada kita? Bukankah kerana sifat jujur Nabi Muhammad, baginda digelar Al-Amin? Dan persoalan yang lebih besar adalah, mengapa umat Islam terpalit dengan isu seperti ini.

Hadis riwayat Ibnu Mas’ud ada menyentuh mengenai nilai jujur di dalam diri seseorang.

Dari ‘Abdullâh bin Mas’ud Radhiyallahu anhu, beliau berkata: “Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, karena kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan seseorang ke syurga. Dan apabila seseorang selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatat di sisi Allâh sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah oleh kalian berbuat dusta, karena dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan mengantarkan seseorang ke neraka. Dan jika seseorang senantiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allâh sebagai pendusta (pembohong).”

Apa yang boleh disimpulkan daripada hadis ini adalah kejujuran akan membawa kepada kebaikan. Dan kebaikan yang kita lakukan merupakan pengantara kita untuk ke syurga. Dalam hadis ini, kita seharusnya membumikan nilai jujur dalam perkataan, perbuatan, ibadah dan dalam semua perkara. Jujur itu bererti selaras antara zahir dan batin, ucapan dan perbuatan, serta antara berita dan fakta. Malah nilai jujur ini perlu dipraktiskan bukan sahaja di rumah, malah di tempat kerja serta dalam organisasi yang kita sertai.

Apabila nilai jujur semakin terhakis, kita akan berlaku korup tanpa kita sedar. Mengapa nilai ini semakin terhakis? Bukankah kita mempunyai Al-Quran yang mendidik kita mengenai nilai kejujuran bahkan antara surah-surah terawal yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada umatnya adalah dalam mendidik kita dengan  nilai-nilai dan aqidah yang benar yang membawa kita kepada pengabdian kepada Allah secara total. Ternyata ketidakjujuran ini berlaku kerana kita takut dan khuatir apabila kita berlaku jujur, kita akan jatuh miskin. Lantas sanggup berlaku korup kepada diri sendiri, masyarakat, bangsa dan negara.

Pelajari sahaja daripada sejarah dunia yang berlaku. Berapa banyak tamadun yang binasa disebabkan terhakis-hakisnya nilai-nilai jujur dalam diri sehingga sanggup menjadi duri dalam daging kepada kejatuhan tamadunnya sendiri. Kita seharusnya perlu mengambil ikhtibar agar pisang tidak berbuah dua kali.

Imam Ghazali telah membahagikan sifat jujur ini kepada tiga bahagian; jujur dalam niat atau kehendak, jujur dalam percakapan dan jujurlah dalam perbuatan. Oleh itu, saya ingin menyeru kepada umat di luar sana, berlaku jujurlah dalam setiap perkara yang dilakukan. Kejujuran akan menggembirakan semua pihak dan sebagai umat yang hidup berpandukan wahyu, nilai jujur ini akan menjadi asbab untuk kita menjejakkan kaki ke syurga Allah pada suatu hari nanti.

 

Adli Adnan

Aktivis Isma Johor Bahru

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian