ismakualaterengganu

Larangan bergambar: TH tunggu keputusan Arab Saudi

BALING, 6 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Lembaga Tabung Haji (TH) masih menanti makluman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan larangan...

BALING, 6 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Lembaga Tabung Haji (TH) masih menanti makluman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan larangan bergambar di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah, seperti laporan beberapa portal tempatan dan antarabangsa.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sekiranya mendapat maklum balas dari Arab Saudi, pihaknya akan memberi kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut secepat mungkin bagi memastikan jemaah haji atau umrah negara ini mematuhinya.

“Jika benar larangan tidak boleh bergambar itu dilaksanakan, saya mohon jemaah kita, tidak kira yang mengerjakan haji atau umrah mengikutinya memandangkan ia adalah undang-undang yang ditetapkan pihak sana,” katanya ketika ditemui media pada Program Berkhatan Perdana Peringkat Parlimen Baling, di sini hari ini.

Baru-baru ini, beberapa portal berita tempatan dan antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Arab Saudi melarang pengunjung Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengambil gambar atau video bagi melindungi dan memelihara kesucian tempat itu, selain supaya tidak mengganggu kelancaran jemaah lain beribadah.

Beliau berkata, ia mungkin antara usaha kerajaan Arab Saudi mengekang penyebaran berita dan gambar tidak elok yang berlaku di kedua masjid tersebut dalam media sosial seperti banjir, bangunan runtuh atau perkara buruk lain, yang sebenarnya tidak berlaku.

“Bagi saya sendiri, mengambil gambar di kedua masjid tersebut memang sedikit sebanyak menganggu perjalanan ibadah jemaah lain terutama ketika waktu sesak melakukan tawaf di Masjidil Haram. Apa pun, kita tunggu saja keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan sana,” katanya.

Abdul Azeez berkata, apa saja keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu dipercayai tidak akan menjejaskan hubungan akrab antara kedua-dua negara.

“Jadi, sekiranya mengambil gambar diputuskan tidak boleh, jemaah kita ikutlah kerana ia secara tidak langsung membantu menjaga hubungan baik antara negara kita dengan Arab Saudi serta memelihara kesucian kedua-dua masjid tersebut.

“Jika tidak boleh bergambar di situ, mungkin pihak mereka akan menetapkan kawasan khusus di tempat lain yang boleh bergambar,” katanya. – Bernama

The post Larangan bergambar: TH tunggu keputusan Arab Saudi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 7212363982164134916

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item