Lebih 13 juta rakyat Syria perlu bantuan: PBB
BEIRUT, 3 Rabiulawal 1439H, Rabu – Lebih 13 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan susulan krisis membabitkan rejim kerajaan, militan dan pejuang anti Bashar al Assad sepanjang tujuh tahun berdepan konflik itu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB dalam satu kenyataan semalam berkata, sejumlah 13.1 juta penduduk Syria terjejas teruk akibat konflik di negara itu.
“Angka berkenaan menunjukkan jumlahnya menurun sedikit berbanding 13.5 juta orang pada tahun lepas.
“Krisis berkenaan memasuki tahun ketujuh, dan keadaan keperluan penduduk di Syria dilihat meningkat serta luar biasa,” katanya.
OCHA dalam kenyataannya sebelum ini berkata, konflik dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa menjadi faktor utama yang membawa ramai orang awam di banyak negara Timur Tengah berdepan penderitaan teruk.
Menurut angka PBB, lebih 330,000 orang terbunuh di Syria sejak konflik tercetus pada tahun 2011. Badan dunia itu menyifatkan konflik berkenaan telah menyebabkan lebih daripada 18 juta penduduk Syria menjadi pelarian.- Agensi
The post Lebih 13 juta rakyat Syria perlu bantuan: PBB appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan