Lembah subur Al-Walaja sasaran terbaharu rejim Zionis

TEBING BARAT, 30 Safar 1439H, Ahad – Bukit hijau yang subur mengelilingi perkampungan Al-Walaja, lembah pertanian yang diusahakan penduduk Palestin sejak ribuan tahun, memberi ketenangan kepada tanah gersang yang biasa kelihatan di Tebing Barat.

Sementara, penduduk kampung kecil Palestin itu telah lama berjuang untuk mengekalkan hak ke atas tanah mereka, kerajaan rejim Zionis mempunyai rancangan lain.

Awal minggu ini, pihak berkuasa rejim Israel memberitahu penduduk kampung itu mereka akan meneruskan rancangan menempatkan pusat pemeriksaan kekal tentera berhampiran Al-Walaja, beberapa ratus meter ke dalam wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Walaupun, ia kelihatan tidak bahaya, penempatan pusat pemeriksaan itu akan memutuskan hubungan penduduk Al-Walaja dengan kira-kira 296.5 ekar tanah, yang akan dibangunkan sebagai taman metropolitan Jerusalem – langkah yang dikecam oleh aktivis dan penduduk tempatan kerana ia adalah contoh terkini pencerobohan rejim Zionis ke atas tanah Palestin.

Seorang profesor di Universiti Bethlehem, Mazen Qumsiyeh berkata, pemindahan dan penempatan pusat pemeriksaan itu tidak masuk akal, kecuali jika memahami bahawa strategi keseluruhan sistem kolonialisme adalah penghapusan etnik.

“Al-Walaja adalah contoh dunia kecil apa yang berlaku di Palestin keseluruhannya. Semua aspek dan ramuan untuk penjajahan boleh ditemui di perkampungan ini,” katanya.

Tersepit di antara tembok pemisah Israel dan penempatan haram di Gilo, Har Gilo dan Gush Etzion, dengan hanya satu laluan yang menghubungkan kampung itu dengan Tebing Barat, perkampungan dan tanah Al-Walaja menjadi sasaran rejim Zionis untuk dirampas sejak wujudnya negara Israel.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 85 peratus kawasan Al-Walaja telah dirampas oleh rejim Israel sejak 1948, manakala 90 peratus penduduknya dihalau keluar – kebanyakannya terpaksa berlindung di kem pelarian – dan tidak boleh kembali ke kampung halaman mereka walaupun terletak di Tebing Barat.

Keputusan rejim Zionis untuk membuka taman negara di kawasan antara Timur Jerusalem dan gugusan penempatan di sekitar Al-Walaja adalah strategi Israel untuk menjarah bumi Palestin yang turut merangkumi rancangan mewujudkan pelan ‘Greater Jerusalem’.

“Warga Israel akan bergembira memiliki taman itu, sedang pemilik tanah tidak jauh dari situ disekat menggunakan pagar berduri. Ia kejam dan tidak berperikemanusiaan,” kata pengkaji pertubuhan Ir Amim, Aviv Tatarsky.

Beliau menjelaskan bahawa menurut undang-undang Israel, tanah di kawasan Baitulmaqdis tidak perlu dirampas untuk dijadikan sebahagian taman negara, malah jawatankuasa perancangan taman itu juga tidak pernah mempertikaikan pemilikan tanah di Al-Walaja.

Rejim Zionis memusnahkan satu-satunya jalan masuk ke perkampungan Al-Walaja. – Gambar AFP

Bagaimanapun, langkah memasukkan lebih banyak kawasan dan perkampungan dalam lingkungan sempadan Timur Jerusalem, menyekat pemiliknya daripada masuk ke tanah mereka. Ini bermakna, rejim Israel akan menyifatkan tanah itu telah ditinggalkan dan mengisytiharkannya sebagai tanah milik negara, walaupun pemiliknya masih tinggal di Al-Walaja.

Tatarsky berkata, langkah merampas tanah itu ditambah pula dengan usaha menyingkirkan penduduk Palestin daripada sempadan perbandaran Jerusalem, adalah sebahagian daripada rancangan rejim Israel untuk mengambil tanah secara maksimum dan meminimumkan penduduk Palestin.

Tindakan menempatkan pusat pemeriksaan Ein Yael akan menjejaskan kawasan musim bunga Ein al-Haniyeh – salah satu daripada sumber air terakhir di Al-Walaja.

Pembesaran taman negara Israel itu juga akan menyekat penduduk Palestin daripada kawasan tanah yang subur. Amalan sistem pertanian yang dilakukan ribuan tahun lalu di Al-Walaja tertulis dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO pada 2014.

Pihak berkuasa antikuiti dan pihak berkuasa pembangunan Jerusalem pula mempromosikan kawasan itu sebagai tapak bersejarah Yahudi.

“Dalam konteks kolonial, Israel menggunakan pelbagai mitos untuk membenarkan apa yang mereka lakukan,” kata Tatarsky sambil menambah arkeologi rejim itu, seperti Israel Finkelstein memperakukan usaha ‘menipu sejarah bagi memenuhi naratif al-kitab’.

Ianya amat menyedihkan. Zionis bukan sahaja mencuri tanah, tetapi mereka menukar identitinya, kata seorang penduduk Al-Wajala, Mustafa al-Araj. – Agensi

The post Lembah subur Al-Walaja sasaran terbaharu rejim Zionis appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian